PUTRAJAYA: Tidak hanya bersama sejak dari alam rahim, pasangan kembar seiras ini langsung tidak pernah berpisah, malah kini berkongsi alam pekerjaan yang sama.
Itu kisah Ummu Najian dan Ummu Najwa Mohd. Zaidi, 24, yang kini bergelar seorang guru di sekolah yang sama iaitu Sekolah Kebangsaan Pulau Indah 2, Klang, Selangor.
Lebih unik, pasangan itu juga tidak pernah berpisah sejak alam persekolahan lagi, malah sama-sama diterima masuk ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darul Aman.
Pasangan kembar itu turut mengajar subjek yang sama iaitu Bahasa Melayu serta Rekabentuk dan Teknologi (RBT).
Ummu Najian berkata, sejak kecil dia dan adik kembarnya tidak pernah berpisah, malah langsung tidak menyangka menjadi seorang pendidik di sekolah yang sama.
Menurutnya, dia bersama adiknya ditempatkan di sekolah itu sejak 4 September lalu selepas menamatkan pengajian selama lima tahun di IPG Kampus Darul Aman.
“Malah, keputusan akhir pengajian kami juga hampir sama. Saya menamatkan pengajian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82 dan adik saya pula 3.81. Malah, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kami juga sama iaitu 11A.
“Saya tak tahu sama ada ini (mengajar di sekolah sama) kebetulan atau tidak tapi saya amat terkejut dan tidak menyangka sama sekali,” katanya ketika ditemui pada majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Sementara itu, Ummu Najwa berkata, dia dan kakaknya adalah anak ketiga dan keempat daripada lima adik-beradik dan kedua ibu bapa dan kakak sulungnya juga adalah seorang pendidik.
Katanya, dia dan kakaknya memang bercita-cita untuk menjadi guru sejak kecil selain galakan daripada ibu dan ayahnya, Roslaini Mat Zin, 51, dan Mohd. Zaidi Husain, 57.
Ditanya sama ada murid atau guru keliru ketika berdepan dengan mereka ketika di sekolah, Ummu Najwa berkata, perkara itu jarang berlaku dan mereka dapat dibezakan dengan tanda nama yang dipakai.
“Biasanya murid atau guru akan melihat tanda nama kami dahulu sebelum menyapa dan menegur. Kebiasaannya kami tidak berdepan masalah kerana dapat dibezakan dengan tanda nama itu.
“Bagi orang yang kenal rapat, kami dapat dibezakan dengan kedudukan tahi lalat di muka. Saya ada tahi lalat di pipi manakala, kakak saya pula ada tahi lalat di tepi mata kiri,” katanya. – UTUSAN