SHAH ALAM: Pas mendakwa bersedia menerajui kepemimpinan negara melalui Perikatan Nasional (PN) apabila meyakini sokongan yang diterimanya daripada pelbagai pihak.
Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau mendedahkan dikunjungi ramai kenalan yang menyatakan keyakinan terhadap parti tersebut untuk menerajui kerajaan.
“Kita tak tahu apa yang Allah rancang, mungkin di peringkat awal kita duduk belajar dulu soal pengurusan, pentadbiran sebelum kita diberi amanah, setiap yang berlaku ada hikmahnya.
“Sebenarnya kita atas PN, cuma baru-baru ini Pas ada banyak kerusi berbanding Bersatu. Kita kalau ditakdirkan memerintah pun atas PN, cuma parti-parti komponen ada peranan.
“Kita pernah buat keputusan sebelum ini untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri walaupun Pas banyak kerusi Tetapi, itu muafakat kita, tak ada isu perebutan jawatan dan sebagainya, kita solid buat keputusan dan kita dukungnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Ke-64, malam tadi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu dalam ucapannya memaklumkan PN akan mengambil alih kerajaan persekutuan tidak lama lagi, namun menjelaskan perkara tersebut sebagai suatu gurauan.
Dalam pada itu, beliau turut menempelak Kerajaan Persekutuan apabila sengaja menggunakan isu perkauman, agama dan institusi diraja (3R) bagi menyekat dan mengambil tindakan terhadap Pas dan PN.
“Siapa lagi yang hendak bercakap atau berbincang soal Melayu dan Islam kalau bukan kita sendiri. Apabila tindakan diambil terhadap pemimpin-pemimpin parti, rakyat melihat tidak ada keadilan dilakukan oleh kerajaan.
“Kita akui Pas sebagai parti lama yang menerima kepelbagaian kaum. Kita berjuang bersama-sama, namun hendaklah jelas terhadap perkara yang merugikan dan ia perlu dielakkan atau dijauhi,” ujarnya. – UTUSAN