KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 seorang raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan dan rakyat Malaysia akan terus mendapat kesejahteraan dengan pemilihan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari tahun depan.
Anwar berkata, Dewan Rakyat berikrar taat setia, selain turut menzahirkan tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
“Sebagai teras pemerintahan Raja Berperlembagaan, saya berkeyakinan dengan pemerintahan Tuanku kelak dan Malaysia bakal diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran berpanjangan.
“Sembah takzim daripada saya dan seluruh ahli Dewan yang mulia ini,” kata sebelum memulakan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Ketua Majlis Parlimen Ke-15 dan Ahli Parlimen Tambun menzahirkan ucapan tahniah atas pengisytiharan pemilihan Sultan Johor sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lalu.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial dalam kenyataan berkata, pemilihan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada hari sama.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan. –UTUSAN