KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan kaedah latihan berbeza yang menyaksikan pelatih menjalani latihan di kem tentera.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah dengan kapasitinya menampung seramai 20,000 pelatih diguna untuk latihan selama 45 hari.
“Sehubungan itu, satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN, tetapi dengan ‘template’ (acuan) baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem.
“Kita mahu supaya kali ini kerajaan tidak berbelanja banyak, tetapi ia lebih memberi pulangan baik kepada modal insan,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
PLKN sebelum ini dimansuhkan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 menyaksikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan Menteri Belia dan Sukan ketika itu bertanggungjawab terhadap pemansuhannya.
Selain PLKN, turut dimansuh adalah Biro Tata Negara (BTN) dengan apa yang dianggapnya wujud unsur doktrin politik.
PLKN 1.0 diasaskan sejak 2004 dan ditambah baik menjadi PLKN 2.0 pada 2016. PLKN 2.0 dilaksana dalam 2 fasa melibatkan Program Pembelajaran Bersepadu (ILP) menggunakan lapan modul di 81 kem di seluruh negara dan latihan kemahiran tiga hingga 24 bulan di 400 Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Syed Saddiq pada Mei lalu dilaporkan tidak menyesal memansuhkan PLKN, sebaliknya menegaskan tiada keperluan menubuhkannya semula yang dilihat sebagai satu bentuk pembaziran wang dan sebagai alat politik. – UTUSAN