KUALA LUMPUR: Kemasukan pelajar bagi mengikuti program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah konsisten dan berada pada tahap tertinggi sejak tiga tahun terkini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, bilangan kemasukan pelajar diploma bagi program TVET di bawah KPT menunjukkan peningkatan berbanding kementerian serta agensi lain iaitu 52.7 peratus atau 85,535 penuntut pada 2022 berbanding 45.3 peratus atau 58,424 pelajar pada 2021.
“Berkenaan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), ketika ini KPT sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan menyediakan memorandum jemaah menteri berkaitan hala tuju STEM bagi meningkatkan minat murid dalam bidang itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli [BN-Jempol] berhubung usaha kerajaan menarik minat anak muda sekarang iaitu generasi Z yang lahir antara 1997 hingga 2012 dalam bidang TVET dan STEM.-UTUSAN