KUALA LUMPUR: Kemasukan pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) meningkat kepada 45.73 peratus tahun ini atau terdapat peningkatan yang positif.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peratusan itu dilihat jauh berbeza berbanding 40.95 pada tahun 2021 dan kali ini membuktikan terdapat kecenderungan generasi muda sedang mendalami bidang STEM.
“KPM sentiasa berusaha membangunkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk menyertai aliran STEM,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Kamal Ashaari [PN-Kuala Krau] meminta menteri menjelaskan langkah diambil KPM bagi menangani penurunan pelajar menengah atas yang menyertai aliran STEM dari 2017 dan 2024.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pelbagai langkah penting diambil terutama melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Katanya, PPPM memberi penekanan kepada meningkatkan minat murid melalui pendekatan pembelajaran baharu dan pemantapan kurikulum, meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru bidang STEM serta meningkatkan kesedaran terhadap STEM dalam kalangan murid, ibu bapa dan orang awam.
“Usaha meningkatkan kecekapan guru dan pemantapan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam dan luar bilik darjah juga antara langkah yang dilaksanakan bagi meningkatkan minat murid, seterusnya mendorong mereka memilih aliran STEM di peringkat pengajian yang lebih tinggi.
“KPM turut memberi perhatian kepada kesediaan infrastruktur bagi menyokong pendidikan STEM,” katanya.
Katanya, ada inisiatif yang diumum pada pembentangan Belanjawan 2024, termasuk peruntukan RM100 juta untuk pemerkasaan STEM bagi tujuan menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer serta perolehan peralatan baharu.
“Selain itu, peruntukan lain ialah RM254 juta yang diluluskan untuk pembekalan peralatan pelajaran Reka Bentuk Teknologi (RBT) sekolah rendah dan tujuan ubah suai naik taraf Bilik Reka Bentuk Teknologi (RBT) sekolah rendah dalam Rolling Plan ketiga,” katanya. – UTUSAN