SEREMBAN: Masalah bekalan elektrik yang dihadapi pemilik-pemilik kediaman di sebuah pangsapuri perkhidmatan di Seremban 3 serta pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban yang menyewa di unit kediaman tersebut, mendapat perhatian pihak kerajaan negeri.
Satu pertemuan diadakan di antara Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar bersama kira-kira 30 orang pemilik unit kediaman pangsapuri itu hari ini.
Arul Kumar memberitahu, bekalan elektrik di bangunan pangsapuri itu termasuk untuk kemudahan lif telahpun dipotong ekoran terdapat baki tertunggak untuk deposit akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) di situ yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat.
Jelas beliau, bagi mengatasi masalah itu dan memastikan bekalan elektrik dapat disambung semula di pangsapuri itu, beliau berjumpa dengan pihak pemaju pangsapuri tersebut, ejen penyelenggaraan serta pihak TNB.
“Saya juga bersama dengan Pesuruhjaya Bangunan (COB) berjumpa dengan pemaju dan TNB, sekarang, langkahnya hanya boleh tubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) supaya akaun baharu TNB didaftarkan atas JMB, jika tidak, memang sukar untuk selesaikan isu ini, kita tidak boleh bergantung kepada akaun TNB syarikat itu.
“Bagaimanapun, ia tidak boleh diselesaikan dalam tempoh seminggu dua ini, ia akan mengambil masa berbulan-bulan dan dalam tempoh itu, jika isu bekalan elektrik tidak dapat diselesaikan, ia akan menimbulkan banyak isu lain seperti pam air yang tidak berfungsi, tidak hanya masalah lif sahaja, jika berterusan, bangunan ini nanti akan jadi bangunan yang terbiar.
“Saya sudah berbincang dengan ejen penyelenggaraan dan bertanyakan kepada pemaju apa yang mereka boleh bantu, TNB pula berkata, mesti ada sekurang-kurangnya RM70,000 sebagai deposit supaya elektrik boleh disambung semula dan sekarang kaedahnya kita perlu mencari jumlah itu sehinggalah kita tukar kepada akaun JMB,” katanya hari ini.
Pada 4 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan rungutan dan keluhan pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban di Seremban 3 di sini yang menyewa unit kediaman di sebuah pangsapuri perkhidmatan yang terpaksa berdepan kepayahan apabila lif di bangunan itu tidak berfungsi.
Keadaan tersebut menyebabkan mereka yang kebanyakannya baru tinggal di situ untuk semester ini terpaksa menggunakan tangga untuk ke unit rumah masing-masing di pangsapuri yang mempunyai 12 tingkat itu selain untuk mengikuti kuliah di kampus universiti yang terletak bersebelahan dengan bangunan pangsapuri berkenaan.
Keadaan tersebut juga mendatangkan kebimbangan terhadap keselamatan terutamanya pelajar wanita apabila gangguan bekalan elektrik itu juga menyebabkan keadaan di koridor di setiap tingkat juga bergelap.
Sementara itu, wakil pembeli, Leong Ywong Sen, 50, berkata, beliau berharap isu yang dihadapi mereka dapat diselesaikan segera bagi memastikan bangunan pangsapuri itu mendapat bekalan elektrik sekali gus membantu pelajar-pelajar yang tinggal di situ.
Katanya, terdapat kira-kira 200 unit service suite di situ dengan 30 unit di antaranya disewa oleh kira-kira 100 orang pelajar. -UTUSAN