MELAKA: Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand, Jeneral Songwit Noonpackdee menerima penghormatan tertinggi yang dimanifestasikan melalui penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kanan Kehormat 10 Briged Para di Dataran Parawood, Kem Terendak di sini, hari ini.
Penghormatan tersebut menjadikan Noonpackdee sebagai penerima ke-70 selepas Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan pada 21 Oktober lalu.
Majlis Pemakaian Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kanan Kehormat kepada Noonpackdee disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.
Terdahulu, penyampaian cenderamata kenangan dilakukan Panglima 10 Briged Para, Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal.
Turut hadir Muhammad Hafizuddeain dan Pengerusi Lembaga Penasihat Tentera Diraja Thailand, Jeneral Kittisak Boonprathamchai.
Seramai 22 pegawai dan 1,200 anggota lain-lain pangkat 10 Briged Para telah menjayakan demonstrasi dinamik dengan melaksanakan penerjunan bebas, tempur tanpa senjata, renang tempur, tactical combat casualty care, demonstrasi menara serba guna dan serangan seksyen.
Majlis bermula dengan penerjunan bebas oleh lapan penerjun menggunakan military tactical glider dari aras 5,000 kaki dari pesawat EC 725, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Turut diadakan pertunjukan Tempur Tanpa Senjata (TTS) oleh pasukan 361 Bateri Rejimen Artileri Diraja (RAD) Para yang berperanan sebagai seni bela diri termasuk tangkisan dan tumbukan.
Paling mencuri perhatian pertunjukan light observation daripada helikopter Agusta A-109 dan tembakan memusnah sasaran oleh MD 530, bantuan tembakan perlindungan udara aras rendah iaitu Missile Anza MK-II dan tembakan artileri. – UTUSAN