PUTRAJAYA: Pandemik Covid-19 memberi pengajaran bermakna dalam menguruskan krisis kesihatan, ekonomi dan politik yang menjejaskan seluruh kehidupan sosial masyarakat.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini termasuk menguruskan tahap tekanan dan kesihatan mental ketika mengetuai pasukan petugas kesihatan sewaktu kemuncak wabak itu tiga tahun lalu.
“Ramai yang ingin tahu, bagaimana saya dapat menguruskan tahap tekanan dan kesihatan mental semasa kemuncak pandemik Covid-19.
“Saya ditanya bagaimana ia mempengaruhi diri, keluarga dan orang sekeliling saya. Tidak dinafikan ia adalah masa yang paling mencabar untuk menguruskan krisis itu.
“Pengajaran yang diperoleh menjadikan kami lebih kuat untuk bersedia menghadapi situasi terburuk dan mengharapkan yang terbaik supaya membuat persediaan di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum Kesihatan Mental bertajuk “Would You Care to Overshare?” di Kolej Antarabangsa Inti Subang Jaya, hari ini.
Menerusi forum itu, barisan panel berkongsi pelbagai perspektif tentang status kesihatan mental rakyat Malaysia dan cabaran membawa kepada populasi kesihatan mental lebih baik pada masa hadapan. – UTUSAN