Pakar psikiatri cadang Yasin dirawat berterusan akibat kecelaruan

Pakar psikiatri cadang Yasin dirawat berterusan akibat kecelaruan bipolar

Dr. Ian Lloyd Anthony hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi perbicaraan kes Muhammad Yasin Sulaiman atas tiga tuduhan berkaitan dadah. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pakar perunding psikiatri mencadangkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini agar penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman menjalani rawatan secara berterusan akibat kecelaruan bipolar (bipolar disorder) yang dialaminya sejak 2009.

Dr. Ian Lloyd Anthony berkata, tertuduh mengalami gejala-gejala bipolar mania termasuk perubahan mood yang melampau, perasaan yang tidak realistik, paranoia dan sikap berhalusinasi untuk tempoh tertentu di antara 2009 dan tahun lalu.

Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak itu berkata, pesakit yang mengalami gangguan tersebut amat sensitif kepada isu-isu kekeluargaan atau persekitaran sama ada secara spontan atau peristiwa berterusan.

Sehubungan itu, pakar psikitari berkenaan mencapai kesimpulan bahawa tertuduh tidak waras dari segi perubatan dan undang-undang kerana mengalami kecelaruan bipolar dan ‘hyperthyroidism’.

Menurut saksi pembelaan itu, hasil pemerhatian terhadap Muhammad Yasin menunjukkan, pesakitnya berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian seperti yang didakwa dalam pertuduhan.

Dr. Ian Lloyd turut berpendapat, Muhammad Yasin tidak waras dari segi perubatan sehingga kepada tahap dia tidak mampu untuk mengetahui tindakannya salah dan melanggar undang-undang.

“Kesimpulan ini terpakai bagi ketiga-tiga kejadian yang dinyatakan dalam pertuduhan,” ujar beliau ketika menjawab soalan peguam Ariff Azami Hussein pada sesi pemeriksaan utama.

Sewaktu ditanya oleh peguam bela sama ada kecelaruan bipolar merupakan sakit keturunan, Dr. Ian Lloyd berkata, beberapa ahli keluarga rapat tertuduh turut mengalami penyakit yang sama.

Sementara itu, ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin pada sesi pemeriksaan balas, saksi menafikan Muhammad Yasin berada dalam keadaan sihat di antara tempoh 10 Mei 2013 dan sebelum ditangkap pada 24 Mac 2022.

Raja Zaizul: Saya katakan, Muhammad Yasin sepatutnya hadir untuk temu janji di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 23 Mei 2013 tapi dia tidak datang kerana dia berada dalam keadaan sihat?
Dr. Ian Lloyd: Tidak setuju.

Raja Zaizul: Saya cadangkan laporan doktor (saksi) adalah berat sebelah kerana hanya bergantung kepada ahli keluarga sahaja?
Dr. Ian Lloyd: Tidak setuju.

Raja Zaizul: Saya juga cadangkan laporan pemerhatian Muhammad Yasin tidak menyeluruh kerana hanya memihak kepada tertuduh sahaja?
Dr. Ian Lloyd: Tidak setuju.

Pakar psikiatri itu turut menafikan laporan pemeriksaannya bercanggah dengan laporan yang dikeluarkan oleh hospital lain yang pernah menjalankan pemeriksaan terhadap tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin bersambung pada 23 Oktober ini.

Sementara itu, semasa ditemui di luar mahkamah, Muhammad Yasin berkata, sebanyak 13 lagu berjaya disiapkan sepanjang tempoh berada dalam penjara sejak Mac 2022.

“Keluar (bebas) nanti, saya akan rakam dan kongsikan dengan semua, malah ada terfikir juga mahu berkolaborasi dengan beberapa artis lain.

“Konsep lagu itu pula masih terbuka dan akan ditentukan selepas saya dibebaskan kelak,” katanya kepada wakil media selepas prosiding selesai.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin, 48, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di IPD Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN