KUALA SELANGOR: Dianggarkan seramai 200 pesawah di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang, di sini mengalami kerugian sekitar RM3.84 juta selepas tanaman padi yang sepatutnya dituai dalam minggu ini musnah dipukul ribut pada Isnin lalu.
Kemusnahan tanaman padi tersebut pada peringkat awal dianggarkan sekitar 600 bendang melibatkan kawasan seluas kira-kira 700 hektar dalam satu kejadian hujan lebat dan angin kencang yang berlaku sejak pukul 9 malam.
Situasi tersebut menyebabkan kesemua pengusahanya ‘terduduk’ sebaik sahaja melihat keadaan sawah yang kebanyakannya musnah lebih 50 peratus sekaligus menjejaskan pendapatan mereka untuk musim ini.
Menurut seorang pengusaha, Mansuri Dugar, 61 yang memiliki petak sawah dekat Blok U dan V kampung berkenaan, ribut yang melanda itu menyebabkan hasil padinya merudum lebih 70 peratus.
“Isnin lalu saya hendak tuai padi, tetapi bila hujan terpaksa tangguh, namun situasi lebih buruk pula yang jadi malam itu apabila hujan lebat dan angin kencang. Bila pagi, saya pergi ke bendang, habis semua padi tumbang.
“Akibat masalah itu, hasil padi bagi musim ini memang jatuh merudum, kalau seluruh bendang tumbang tuaiannya mungkin boleh capai sehingga dua tan metrik sahaja berbanding lima hingga tujuh tan pada kebiasaan,” katanya ketika ditemui.
Jelasnya, situasi tersebut dianggap bencana dan kerap melanda pesawah-pesawah di kampung itu hampir setiap tahun sepanjang pertanian itu diusahakan dari generasi ke generasi.
Seorang lagi pengusaha yang juga wakil pesawah bagi Blok E1 dan W, Fairuzzaini Mohd. Toif, 39, memberitahu sehingga kini masih mengenalpasti jika terdapat lagi pengusaha yang terkesan akibat bencana tersebut.
“Sehingga kini kita masih menilai berapa ramai pesawah terjejas dan sawah padi yang rosak akibat ribut berkenaan. Bagaimanapun, kami bersyukur situasi ini mendapat perhatian Jabatan Pertanian Selangor.
“Namun, mereka hanya akan membantu pesawah yang padinya musnah 50 peratus ke atas. Jadi, kami diberi masa sehingga Rabu depan untuk menyediakan laporan dan dokumen berkaitan seperti mengambil gambar dan sebagainya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak yang meninjau situasi tersebut memohon kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menyediakan tabung khas bencana bagi petani-petani.
Menurutnya, tabung tersebut boleh digunakan oleh petani di seluruh negara termasuk pesawah yang menghadapi bencana seperti kemusnahan hasil padi akibat ribut.
“Kalau hasil padinya cuma RM2,500 sahaja semusim sebelum ditolak kos penanaman seperti baja dan racun, bagaimana mereka akan meneruskan hidup sepanjang enam bulan sementara menunggu hasil pada musim seterusnya,” jelasnya. – UTUSAN