Organisasi bebas diskriminasi lebih cemerlang

Organisasi bebas diskriminasi lebih cemerlang

V. SIVAKUMAR (dua, kanan) menyerahkan mock cek Anugerah MyFutureJobs Kerjaya Madani kepada wakil syarikat Technocom Systems Sdn. Bhd. pada Majlis Anugerah dan Malam Gala Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa 2023 (IPEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi. Turut sama, Subahan Kamal (kanan). - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sesebuah organisasi atau perusahaan yang mengamalkan dasar terbuka dengan tidak mendiskriminasi mana-mana kaum dalam pengambilan pekerja dan meraikan kepelbagaian masyarakat lebih cenderung menunjukkan prestasi cemerlang dalam industri masing-masing.

Dasar itu bukan saja memanfaatkan sumber tenaga kerja tempatan di negara bahkan meraikan identiti Malaysia sebagai negara majmuk.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, daya kreativiti daripada golongan pekerja yang mewakili pelbagai latar belakang lebih menyerlah sekali gus menjadi sandaran dalam menyelesaikan rangkaian cabaran.

Pada masa sama, menurut beliau, hala tuju sesebuah organisasi yang menerapkan dasar bebas diskriminasi perkauman, terbukti lebih inovatif, utuh dan mampu memacu kepada transformasi selari dengan peredaran zaman.

“Di Malaysia, kita bukan sekadar tempat perkumpulan budaya, kita juga umpama mozek yang setiap satu mewakili keunikan warisan, bahasa dan tradisi. Kepelbagaian ini adalah bukanlah cabaran untuk diatasi sebaliknya anugerah untuk dihargai dan dimanfaatkan.

“Justeru, dengan menyokong dasar kepelbagaian pekerja, kita bukan sekadar meraikan identiti Malaysia, tetapi juga memperkukuhkan syarikat dan ekonomi negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Makan Malam Gala International Public Employment Forum 2023 (IPEF 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini malam tadi.

Hadir sama dalam majlis itu Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Turut berlangsung adalah penyampaian anugerah MYFutureJobs yang julung kali diadakan bagi menghargai sumbangan majikan, penyedia latihan dan pusat rehabilitasi kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sebanyak lapan kategori anugerah dan 24 pemenang yang menerima penghargaan ini.

Anugerah Emas MYFutureJobs bagi kategori Besar dan perusahaan kecil sederhana (PKS) diberikan kepada organisasi yang menunjukkan komitmen utuh terhadap pembangunan dan kesejahteraan pekerja dalam aspek keselamatan sosial.

Anugerah Emas MyFutureJobs bagi kategori Kerjaya Madani diberikan kepada organisasi yang menunjukkan amalan teladan dan kemajuan kerjaya luar biasa mengikut prinsip-prinsip Madani.

Pengiktirafan ini juga bukti komitmen majikan membantu golongan rentan seperti bekas banduan, Orang Asli dan pencari kerja berusia 40 tahun ke atas.

Anugerah Kelestarian adalah untuk mengiktiraf organisasi yang menyumbang ke arah ekosistem mampan, penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, menggalakkan kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman serta penambahbaikan masyarakat.

Anugerah Penjagaan Rehabilitasi disampaikan kepada hospital dan pusat rehabilitasi yang memberikan perkhidmatan cemerlang, termasuk rangkaian terapi, kualiti kemudahan serta tahap kepuasan keseluruhan hospital serta pusat Rehabilitasi di bawah panel Perkeso.

Selain itu, Anugerah Pemerkasaan Bakat diperuntukkan kepada penyedia latihan awam dan swasta yang memberikan latihan berkualiti, berkesan serta relevan dalam pelaksanaan latihan, penawaran kursus-kursus peningkatan kemahiran dan latihan semula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya