Orang ramai serbu beras tempatan PPK Bukit Payong  

Orang ramai serbu beras tempatan Peladang Bukit Payong  

Orang ramai mendapatkan beras tempatan yang dijual di PPK Bukit Payong, Marang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Jualan beras putih tempatan (BPT) menerusi pelaksanaan intervensi pengedaran oleh Lembaga Pertubuhan Peladang menjadi tumpuan orang ramai di Pejabat Peladang Kawasan (PPK) Bukit Payong, Marang di sini, semalam.

Penduduk sekitar kawasan itu beratur panjang untuk membeli 300 kampit BPT yang dijual di PPK tersebut.

Seorang penduduk, Zalina Alias, 30, berkata, dia tidak melepaskan peluang membeli beras dengan harga yang murah iaitu RM26 untuk sekampit 10 kilogram berbanding beras import yang berharga hampir RM40.

“Saya tinggal ramai dengan keluarga mertua, empat adik ipar serta dua anak, jadi memang stok beras cepat habis di rumah.

“Kalau sekali dua beli beras import, tak mengapa tapi jika kerap sangat terasa juga beban kewangannya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang peniaga, Hafizah Mokhtar, 38 pula berkata, dia sudah mencari stok BPT di beberapa pasar raya, pasar mini dan kedai-kedai runcit berhampiran rumahnya namun gagal.

Menurutnya, setiap kali mendapat maklumat jualan BPT di mana-mana lokasi, dia akan pergi untuk membelinya dalam jumlah yang banyak untuk persediaan tempahan nasi lemak.

“Memang leceh sebab masalah ini tidak pernah terjadi sebelum ini, mujurlah saya hanya ambil tempahan makanan secara kecil-kecilan sahaja, kalau ada stok beras yang mencukupi, barulah saya berani ambil tempahan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT), Aizuddin Muhammad berkata, pihaknya telah mengedarkan 60 tan metrik BPT di negeri ini, setakat ini.

Menurutnya, bekalan beras yang diterima itu telah diedarkan kepada semua 14 PPK seluruh negeri itu untuk dijual secara runcit di premis berkenaan sebagai langkah intervensi kerajaan dalam usaha mengatasi kekurangan bekalan beras di Terengganu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya