Ops Tiris: 2 pemandu lori ditahan bersama lebih 5,000 liter diesel subsidi - Utusan Malaysia

Ops Tiris: 2 pemandu lori ditahan bersama lebih 5,000 liter diesel subsidi

SEORANG anggota penguatkuasa KPDN Pulau Pinang memeriksa beberapa tangki yang dipercayai memuatkan minyak diesel bersubsidi dalam dua serbuan berbeza di Juru dan Simpang Ampat, Pulau Pinang pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Dua pemandu lori warga tempatan ditahan bersama lebih 5,000 liter diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000 dalam dua serbuan berasingan di sini menerusi Ops Tiris, bermula awal pagi semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, S. Jegan berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah stesen minyak di Juru kira-kira pukul 4.45 pagi.

Katanya, terdahulu, sepasukan anggota penguatkuasa KPDN negeri mengesan dan menjejaki sebuah lori berwarna merah yang sedang mengisi minyak diesel di sebuah stesen minyak di sekitar kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

S. JEGAN

Beliau berkata, semasa serbuan dijalankan, pihaknya menahan kenderaan tersebut bersama pemandu lori berusia 40-an yang sedang leka mengisi minyak diesel.

“Pemeriksaan kemudian menemukan enam unit tangki simpanan yang berkapasiti 1,000 liter di dalam lori tersebut yang yang digunakan untuk mengisi minyak diesel,” katanya di sini, hari ini.

Jegan berkata, serbuan kedua pula dilakukan kira-kira pukul 7.30 pagi hari sama di sebuah stesen minyak di sekitar Simpang Ampat, dekat sini.

Menurut beliau, ketika itu, pihaknya mengesan sebuah lori berwarna putih dan seorang pemandu lori yang sedang mengisi minyak diesel juga dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika cuba ditahan, pemandu berkenaan bagaimanapun bertindak agresif dengan melarikan diri serta merempuh kenderaan milik Jabatan (KPDN Pulau Pinang).

“Namun, hasil bantuan daripada polis dan Unit Risik KPDN, suspek berusia 40-an berjaya ditahan semula bersama lori yang dipandunya.

“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati, terdapat tiga buah tangki minyak diesel di dalam kenderaan tersebut yang berkapasiti 1,000 liter setiap satu,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, kata Jegan, jumlah diesel yang dirampas untuk kes pertama adalah sebanyak 4,800 liter selain barang sitaan untuk kes itu termasuk sebuah lori, dua set pam hos dan motor, sebuah telefon bimbit serta enam unit tangki ‘intermediate bulk container’ atau IBC yang dianggarkan bernilai RM39,119.

Katanya, bagi kes kedua pula, jumlah rampasan diesel iaitu sebanyak 600 liter bersama hasil sitaan beberapa barangan lain seperti lori, pam motor dan hos serta telefon bimbit yang bernilai RM13,590 sekaligus menjadikan jumlah rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM52,709.

Jelas beliau, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan bagi individu boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Ujarnya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula boleh denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika didapati bersalah,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai diingatkan tidak menyalahgunakan barangan kawalan bersubsidi atau bersedia untuk berdepan tindakan undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya