Operasi JPJ: Pemandu lori utara serah 7 tuntutan - Utusan Malaysia

Operasi JPJ: Pemandu lori utara serah 7 tuntutan

SEBAHAGIAN daripada kira-kira 1,000 pemandu lori yang berkumpul di hadapan pejabat JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya hari ini untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh agensi tersebut terhadap mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Persatuan Pengusaha-Pengusaha Kecil Kenderaan Perdagangan Wilayah Utara hari ini mengemukakan tujuh tuntutan dalam bentuk memorandum bantahan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di Seberang Jaya di sini, pagi ini.

Pengerusi persatuan itu, Muhamad Daniel Abdullah berkata, tuntutan itu dibuat bagi menyatakan luahan serta rungutan yang diterima daripada ahli mereka iaitu pemandu-pemandu lori berhubung isu berbangkit khususnya berkaitan operasi penguatkuasaan oleh agensi tersebut yang dikenakan terhadap mereka ketika ini.

MUHAMAD DANIEL Abdullah menunjukkan memorandum bantahan yang diserahkan kepada JPJ Pulau Pinang hari ini.

Katanya, antara tuntutan tersebut ialah mahu JPJ negeri mempertimbangkan supaya lori-lori yang membawa muatan sama paras dengan pagar kenderaan itu diberi pelepasan di bawah peraturan membawa barangan melebihi had muatan yang ditetapkan.

Pada masa sama, katanya, mereka juga mencadangkan JPJ menaikkan nilai Berat Dengan Muatan atau BDM bagi sesebuah lori kerana lori yang baharu dikeluarkan kebiasaannya lebih canggih dan mampu menanggung bebanan yang tinggi.

“Selain itu, kami juga mencadangkan supaya saman juga dikenakan terhadap pihak lombong, kuari dan kilang jika lori ditangkap melebihi had (muatan) kerana mereka telah membenarkan lori itu keluar dari premis mereka dengan muatan berlebihan.

“Kami turut berpendapat kerajaan perlu memainkan peranan menaikkan kadar sewa kenderaan perdagangan kerana kadar sewa dalam industri ketika ini adalah sangat murah dan tidak berpatutan sedangkan kos alat ganti kenderaan dan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika hadir menyerahkan memorandum tersebut dengan ditemani oleh beberapa aktivis setempat termasuk bekas Ahli Majlis di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel.

Hadir sama bagi menyatakan sokongan terhadap penyerahan memorandum bantahan itu ialah kira-kira 1,000 pemandu lori dari seluruh Pulau Pinang serta sekitar wilayah utara.

Mengulas lanjut, kata Muhamad Daniel, pihaknya memohon supaya sistem saman dimerit kepada pemandu dihapuskan kerana disifatkan amat tidak adil kepada pemandu kenderaan perdagangan.

Katanya, mereka turut memberi saranan kepada JPJ untuk memberi kerjasama penuh dalam penguatkuasaan undang-undang secara berhemah, bukannya secara melampau bagi mencapai hasrat yang digariskan di bawah Tindakan Pembangunan Bumiputera (TBP) 2030.

Tambahnya, rata-rata pemandu lori atau pengusaha kenderaan berat di wilayah utara hanya memiliki satu atau dua buah kenderaan perdagangan dan tindakan yang terlalu ‘keras’ terhadap mereka boleh menjejaskan sumber pendapatan.

Dalam pada itu, memorandum bantahan tersebut diserahkan kepada Timbalan Pengarah JPJ negeri, Shahrul Azhar Mat Dali dengan kehadiran Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya