Op usir pekebun sayur: Tindakan keras terhadap aktivis dikecam

Op usir pekebun sayur: Tindakan keras terhadap aktivis dikecam

KEADAAN kekecohan semasa operasi pengusiran pekebun sayur di Kanthan, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) mengecam tindakan keras terhadap aktivis semasa operasi pengusiran pekebun sayur di Kanthan di sini hari ini.

Dalam kenyataannya, Koordinator FKMM, Nurfitri Amir Muhammad mendakwa, dalam operasi itu, seorang aktivis dikasari pegawai Pejabat Tanah dan Daerah (PTG) Perak.

Menurutnya, tindakan itu dikecam kerana para petani di situ merupakan barisan hadapan keterjaminan makanan negara. 

Beliau berkata, kawasan kebun seluas 53.4185 hektar itu menghasilkan purata 50 tan sayur-sayuran setiap hari oleh lebih 200 petani. 

“Kawasan itu diusahakan oleh petani sejak tahun 1970-an di bawah Dasar Buku Hijau Tun Abdul Razak dan sejak itu, ia berfungsi sebagai kawasan pengeluaran makanan untuk negeri Perak,” katanya.

Beliau mendakwa, sejak 2021, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak berusaha mengusir petani di situ untuk pembangunan kawasan perindustrian Perak Hi-Tech Park yang akan dibangunkan oleh beberapa syarikat dari Kuala Lumpur. 

Katanya, isu utama para petani tersebut enggan berpindah adalah kerana kegagalan pihak kerajaan negeri yang tidak memberikan kawasan tanah ganti yang sesuai untuk berkebun. 

“Parti Sosialis Malaysia dan Gabungan Marhaen yang membantu para petani menguruskan kes ini beberapa kali mengadakan pertemuan dan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Perak, Kementerian Pertanian dan Perdana Menteri.

“Ini untuk mendapatkan penyelesaian yang rasional demi kebajikan petani dan keterjaminan makanan negara, namun, pengusiran secara paksa tetap dilaksanakan. 

“Oleh itu, kami mendesak agar mereka yang ditahan polis dibebaskan segera dan individu yang dicederakan dalam kes ini diberikan keadilan yang sewajarnya,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya