SHAH ALAM: Proses tuntutan hak penjagaan anak (hadhanah) oleh pelakon Hafidz Roshdi masih belum selesai, selepas bekas isterinya Nurul Shuhada bertindak memohon ibunya dimasukkan sebagai responden kedua untuk permohonan tersebut.
Nurul Shuhada atau nama sebenarnya Nurul Shuhada Mat Shukri, berkata pada prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah, hari ini, bekas suaminya itu meminta untuk meneliti permohonan untuk memasukkan nama ibunya, Wan Latipah Yusof terlebih dahulu sebelum memberi jawapan.
“Saya hendak masukkan mama (ibu) dalam permohonan itu kerana kami yang jaga anak. Kalau pergi kerja, saya tinggalkan anak pada ibu. Jadi, memang munasabah untuk masukkan ibu dalam tuntutan berkenaan.
“Harap pihak Hafidz Roshdi dapat mempertimbangkan permohonan saya,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu, peguam Hafidz, Puteri Ummi Kartini Abd. Latiff memberitahu, pihaknya akan meneliti permohonan yang baru diberikan oleh Nurul Shuhada sebelum mengemukakan afidavit bagi menjawabnya.
“Kes tersebut ditetapkan untuk di hadapan Hakim pada 23 Januari tahun hadapan. Kita bersedia untuk join custody (penjagaan anak secara bersama) kerana kita tidak menolak hak Nurul Shuhada sebagai ibu untuk menjaga anaknya.
“Begitu juga Hafidz sebagai bapa ada hak untuk berjumpa anak-anaknya. Bagi permohonan hadhanah interim, kita failkan kerana Hafidz mahu jaga anak-anak (sebentar) memandangkan dia datang jauh (dari Lembah Klang) untuk berjumpa ibunya di Perlis,” ujarnya.
Terdahulu, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi membuat tuntutan hadhanah terhadap anak-anak hasil perkahwinannya dengan Nurul Shuhada iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.
Tuntutan tersebut dibuat selepas Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan perceraian mereka pada 27 Julai lalu. – UTUSAN