PETALING JAYA: Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron berkongsi detik cemas bersama suaminya, Mohamed Adan Shaat yang terselamat daripada serangan bom rejim Israel.
Menurutnya, perkara itu berlaku ketika dia dan suaminya sedang menaiki teksi semasa keluar membeli bantuan makanan hasil sumbangan orang ramai.
“Alhamdulillah, semalam kami selamat…roket (lintas) atas kepala…saya rasa dalam 50 meter macam itu bom jatuh. Kalau teksi itu lalu tempat lain, wallahualam, apa jadi dengan kami,” kongsinya menerusi rakaman video malam tadi.
Terdahulu, menerusi rakaman video, Nurul Ain meluahkan dirinya kini tidak mampu untuk tersenyum kerana keadaan di Semenanjung Gaza semakin genting.
“Assalamualaikum semua, ramai yang tanya khabar tak boleh nak jawab satu-satu. Keadaan sekarang teruk seteruk-teruknya. Dah tak boleh nak senyum, minta maaf sangat-sangat.
“Memang genting sangat-sangat, dah masuk lapan hari tak ada elektrik, tak ada air, ramai dah lari dari rumah mereka. Kali ini luar biasa,” katanya.
Dalam rakaman sama, Mohamed Adan menyifatkan, orang luar boleh membayangkan sendiri betapa teruknya konflik kali ini sekiranya membandingkan jumlah kematian ketika ini dengan serangan selama 51 hari pada 2014 lepas.
“Sampai sekarang, lebih dari 2,750 syahid dalam masa lapan hari. Kali terakhir pada 2014 dalam tempoh 51 hari tidak sampai atau agak-agak 2,000 (syahid).
“Jadi, apa jadi dalam lapan hari lagi teruk dibandingkan dengan apa yang jadi dalam 51 hari. Boleh bayangkan bagaimana teruknya,” ujarnya. -UTUSAN