Nombor telefon lama dikitar semula selepas enam bulan

Nombor telefon lama dikitar semula selepas enam bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nombor telefon lama akan memasuki tempoh kuarantin selama sekurang-kurangnya enam bulan sebelum boleh digunakan semula oleh pengguna baharu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil berkata, penggunaan semula nombor merupakan satu dasar sedia ada di bawah Rancangan Pengurusan Penomboran dan Pengalamatan Elektronik (NEAP) 2023 bagi memastikan setiap nombor diguna pakai dengan berhemat, cermat dan dapat mengelakkan pembaziran.

“Bagi menangani masalah dan mengurangkan risiko berkaitan dengan panggilan kepada pengguna nombor lama, nombor-nombor yang telah tidak aktif ini akan memasuki tempoh kuarantin atau cooling off period selama sekurang-kurangnya enam bulan sebelum boleh digunakan semula oleh pengguna baharu.

“Amalan mengguna semua nombor telefon lama dan tempoh kuarantin ini juga digunakan di negara lain seperti di Amerika Syarikat (45 hari), Australia (6 bulan) dan Singapura (90 hari),” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Namun, katanya, walaupun langkah-langkah mengurangkan masalah dan risiko telah dilakukan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak dapat menegah bank atau sebarang perkhidmatan daripada menyimpan data peribadi pelanggannya untuk tempoh yang lama.

“Oleh itu, dalam menangani perkara ini, pengguna baharu juga harus cakna untuk menyekat nombor telefon dengan menggunakan fungsi sedia ada yang terdapat di dalam telefon mudah alih.

“Pengguna juga hendaklah sentiasa mengemas kini maklumat nombor telefon mereka dengan pihak penyedia perkhidmatan perbankan bagi menjamin keselamatan akaun perbankan masing-masing,” katanya.

Jelasnya, jika terdapat panggilan yang mengancam keselamatan pengguna baharu, disarankan supaya laporan polis dibuat dengan segera.

“Sekiranya pengguna berhadapan dengan jenayah penipuan, pengguna hendaklah melaporkan perkara tersebut ke talian bantuan Pusat Respons Scam Kebangsaan, 997,” katanya.

Daripada 49.4 juta nombor pengguna mudah alih setakat suku kedua 2023, terdapat 34.98 juta pengguna prabayar manakala baki 14.45 juta lagi merupakan pengguna pascabayar.

Berdasarkan statistik aduan diterima sejak 2021, hanya 80 aduan yang diterima berkaitan nombor dikitar semula yang bersamaan 0.00016 peratus daripada jumlah langganan nombor telefon mudah alih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya