KANGAR: Pendaftaran perkahwinan di negeri ini selepas melangsungkan proses nikah di Thailand atas tujuan poligami tidak memerlukan persetujuan isteri pertama.
Di Perlis sahaja, seramai 20 sehingga 25 pasangan berkahwin di Thailand mendaftar di negeri ini dalam tempoh sebulan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, poligami tidak memerlukan persetujuan isteri pertama dengan pemohon hanya perlu hadir di hadapan pendaftar dan mengemukakan bukti perkahwinan menerusi dokumen yang disahkan.
Katanya, apabila pendaftar berpuas hati bahawa perkahwinan tersebut adalah sah di sisi syarak, maka, perkahwinan berkenaan boleh didaftarkan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) 2006.
“Kebanyakkan pasangan memilih nikah di Thailand ini atasi faktor seperti merasa proses perkahwinan di Malaysia menyusahkan, berpoligami dan privasi.
“Pendaftaran pernikahan tersebut (poligami) juga adalah mesti bagi mereka (pasangan) yang bermastautin di negeri ini,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, cukup ramai pasangan di Malaysia memilih berkahwin di Thailand khususnya golongan yang menyembunyikan perkahwinan mereka daripada pengetahuan isteri pertama atau poligami.
Hal demikian didedahkan Konsulat Malaysia di Songkhla yang memaklumkan menerima 60 hingga 80 permohonan sehari bagi pengesahan pasangan dari Malaysia yang bernikah di selatan Thailand dengan tempoh sebulan, lebih 2,400 permohonan.
Dalam pada itu, perkhidmatan nikah di Thailand melalui pekan Golok kurang mendapat sambutan dalam kalangan pasangan yang mahu berpoligami kerana jauh dari Pejabat Konsulat Malaysia dan Pejabat Agama Wilayah Songkhla.
Seorang ejen yang mahu dikenali sebagai Wan, 35, berkata, rata-rata pelanggan lebih gemar menggunakan perkhidmatan yang berpangkalan di Bukit Kayu Hitam.
“Kawasan itu lebih dekat dengan pejabat konsulat Malaysia selain pejabat agama Wilayah Songkhla.
“Situasi itu menyebabkan kami lebih banyak ‘rehat’ berbanding sebelum ini. Kadang kala sebulan hanya tiga pasangan sahaja yang mengambil pakej ini,” katanya.-UTUSAN