PUTRAJAYA: Sikap tidak bertanggungjawab oleh pihak yang menfitnah National Feedlot Corporation (NFCorp) yang ditaja kartel daging import haram menyumbangkan kepada masalah sekuriti makanan di negara ini.
Presiden Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Noor berkata
negara mengalami ‘kerugian’ apabila projek NFC yang menyokong Dasar Pengeluaran Daging Lembu Negara terpaksa dihentikan apabila ditohmah, difitnah secara tersusun sehingga rakyat terbeban dengan harga makanan yang tinggi.
“Saya berani untuk katakan bahawa pihak kartel daging import haram antara pihak yang mahu menjahanamkan NFC sehingga timbul isu keraguan untuk membeli daging import yang menyebabkan jualan pasar merosot 50 peratus selain harga semakin mahal.
“Tetapi, nasi sudah jadi bubur, harap kerajaan dapat berbuat sesuatu untuk memulihkan sekuriti dan keterjaminan makanan terutama daging lembu di negara ini,” jelas beliau di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi NFCorp, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail menzahirkan rasa syukur selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan beliau dan tiga anaknya daripada semua pertuduhan berhubung projek Pusat Fidlot Kebangsaan di Gemas, Negeri Sembilan.
Ia susulan keputusan yang disampaikan oleh Hakim Anand Ponnudurai bahawa Mohamad Salleh bersama-sama tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah dilepaskan dan dibebaskan daripada saman kerajaan.
Hakim Anand dalam penghakiman berkata, tiada berlaku sebarang salah guna atau pecah amanah dalam mana-mana urusniaga yang dijalankan oleh NFCorp.
Begitu pun, Mahkamah Tinggi memerintahkan NFCorp membayar balik RM33.7 juta kepada kerajaan, iaitu sebahagian daripada jumlah pinjaman yang tidak digunakan. – UTUSAN