KUALA LUMPUR : Negara mungkin akan berdepan dengan isu kekurangan saintis sekiranya bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tidak dibudayakan dalam kalangan pelajar dan generasi muda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS), Dr Muhd Noor Muhd Yunus berkata, kesan ketiadaan minat terhadap STEM dikhuatiri memberi ‘nahas’ kepada negara memandangkan persaingan antara negara kini berteras kepada kekuatan teknologi yang mana STEM mendasarinya.
“Zaman sekarang, dunia bersaing dengan teknologi. Kalah kita dalam STEM, kalahlah kita dalam pembangunan teknologi. Kita boleh beli teknologi namun kita tidak kaya selamanya. Walaupun mahu pakai teknologi, perlu ada pengetahuan STEM yang tinggi.
“Contoh, Amerika Syarikat (AS) mahu bagi kapal terbang F-16 kepada Ukraine, bukan semudah bagi kunci kereta untuk memandu. Juruterbang Ukraine perlu dilatih dan perlu berpengetahuan tinggi dan mahir dalam STEM,”katanya ketika dihubungi, baru-baru ini
Selain itu, jelas Dr Muhd Noor, keperluan untuk menanam minat STEM ini kepada anak-anak muda adalah penting dan peranan itu harus dimainkan oleh semua pihak, bukan cuma para pendidik sahaja.
Katanya, persekitaran keluarga dan masyarakat juga penting dan ketika anak-anak masih kecil, kepentingan itu harus diterapkan menggunapakai imaginasi dan kreativiti mereka sendiri.
“Masa kecil saya didedahkan kepada kehebatan atau ahli sains Amerika dulu dimomokkan hero. Orang putih hebat kerana sains dan matematik. Ayah saya selalu bagi tazkirah supaya satu hari menjadi orang berjaya terutama bidang sains.
“Di sekolah pun sama. Ketika itu, tak pernah terfikir untuk raih gaji besar, jadi jutawan.Malah, tidak ada cerita yang saya peroleh dari persekitaran. Dengan ringkasnya persekitaran dan pendedahan kepada kehebatan sains berlaku pada waktu kecil saya. Waktu itu juga kami membina gajet-gajet permainan sendiri sebab tiada wang untuk beli gajet.
“Jadi inovasi bermula daripada kecil dan di kampung. Teknologi kampung seperti bedil meriam, tombak ikan dan sebagainya, semua dibina sendiri. Berbanding dengan anak-anak zaman sekarang, persekitaran di kelilingi oleh sains dan teknologi, namun mereka tidak disedari dengan kehebatan-kehebatan itu oleh ibu bapa dan persekitarannya,” katanya.
Tambah Dr Muhd Noor lagi, anak-anak masa kini kebanyakannya menjadi pengguna namun tidak diterapkan dengan kemahiran berfikir.
“Ini kerana segalanya bagi mereka mudah didapati atau ada duit dan amat sukar nak bina sendiri gajet yang berteknologi tinggi. Oleh itu timbul keadaan dimana kita menjadi pengguna bijak tetapi tak pandai rekacipta sebab terlalu rumit bagi mereka.
“Oleh itu kita perlu terapkan semula ekosistem terdahulu dalam kalangan anak-anak kecil supaya minat terhadap sains melalui penerokaan, binaan-binaan itu dapat didedahkan kepada mereka,” katanya.
Pada masa yang sama, kata beliau, pendekatan agama yang progresif juga penting yang secara tidak langsung berkait rapat dengan bidang STEM.
“Tarbiyah Fardu Ain saja tidak mencukupi. Anak-anak perlu ditanam semangat ingin tahu yang mendalam tentang kejadian-kejadian ciptaan Allah SWT untuk mentauhidkan Pencipta selain benar-benar menjadi khalifah di muka bumi yang mana orang Muslim berpengetahuan dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Rata-rata pendekatan agama kita sekarang tidak terperinci kepada kejadian biologi kita dan alam semesta. Kita sekali lagi mengharapkan bukan Islam untuk menerokai ilmu kejadian alam dan biologi. Contohnya, berapa ramai Muslim yang terlibat dengan kajian ilmu Kosmologi nuklear mengguna particle accelerator Hadron Collider di CERN Switzerland?
“Berapa ramai muslim yang buat kajian tentang mitokondria yang berperanan untuk proses oksigen dan makanan untuk sel-sel tubuh kita? Anak-anak Muslim tidak di dedahkan tentang keperluan menguasai ilmu ini dari sudut fardu kifayah? Ini sesuatu yang boleh difikirkan,”katanya. -UTUSAN