PERJALANAN Namira untuk mencapai citacita sejak kecil bergelar seorang penyanyi tidak mudah.
Gadis asal Kuala Lumpur itu mempersiapkan dirinya dengan pemahaman tentang muzik bagi menawarkan karya berkualiti kepada masyarakat.
Namira tidak hanya mempunyai diploma dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), malah mempelajari jurusan muzik dalam pengkhususan gitar klasik selama tiga tahun dan penciptaan muzik.
Bagi Namira, ilmu perlu penuh di dada sebelum bersedia terjun lebih serius menjadi seorang anak seni.
DIBERI HARAPAN PALSU
Namun, pelbagai perkara dihadapi anak sulung daripada dua beradik ini sepanjang tempoh bergelar artis termasuklah diberi harapan palsu oleh beberapa pihak yang kononnya ingin menaja kerjayanya sehingga ke Indonesia.
“Banyak pihak tabur janji manis kepada saya konon nak taja hingga ke Indonesia. Apabila sudah siapkan proposal, tiba-tiba menghilang. Lebih menyedihkan saya sudah lima kali menghadapi situasi seperti ini sejak 2016.
“Saya pernah berada di suatu fasa di mana sudah patah semangat. Saya sudah terima sekiranya bidang nyanyian bukan rezeki saya,” katanya.
LAGU ‘BULAN’ BERI HARAPAN BARU
Perjuangannya selama bertahun-tahun menunjukkan sinar apabila lagu ciptaannya bertajuk ‘Bulan’ berjaya mencuri hati penerbit filem Pagari Bulan, Sharifah Shahora dan Raja Mukhriz sekali gus menjadikannya sebagai runut bunyi rasmi.
“Pengarah Raja Mukhriz kata, lagu itu sesuai dengan jalan cerita filem tersebut. Dia juga kata lagu itu ada roh dan jika diputarkan berulang kali, akan mengundang sebak.
“Saya ubah semula susunan lirik untuk sentuhan akhir dan Alhamdulillah, lagu tersebut berjaya menyentuh hati orang yang mendengarnya,” tambahnya.
Tuah Namira untuk lagu Bulan tidak berhenti di situ. Beberapa penerbit lain juga mula merisiknya untuk memberikannya peluang menulis lagu runut bunyi untuk filem lain.
Namira tidak menolak jika rezeki memihak kepadanya dan dikenali dengan julukan ratu OST.
“Selepas filem Pagari Bulan sudah terbit, saya dihubungi oleh beberapa penerbit berminat menggunakan lagu saya untuk runut bunyi. Saya sangat gembira dan sebak kerana selepas berjuang bertahun-tahun akhirnya karya saya perlahan-lahan dipandang.
“Setiap lagu yang saya buat memang datang daripada hati dan datang daripada pengalaman. Seperti ‘Bulan’, lagu itu saya tulis berbekalkan inspirasi jodoh saya dengan seseorang tidak panjang yang kebetulan kena dengan jalan cerita filem ini,” tambahnya.
Menjadi seorang komposer, penulis lirik dan penyanyi, Namira tidak mahu mengehadkan bakatnya dengan bernyanyi semata-mata.
Gadis itu perlahan-lahan mahu menulis lagu untuk artis lain khususnya Dato Seri Siti Nurhaliza.
“Saya mahu diingati sebagai usahawan artis. Saya mahu ciptakan lagu untuk artis sehingga mampu menubuhkan rumah penerbitan lagu sendiri.
“Saya terbuka ciptakan lagu untuk sesiapa sahaja asalkan ia mudah bekerjasama. Tapi sebenarnya, saya peminat Siti Nurhaliza,” katanya sambil ketawa.
Bagi yang ingin mengikuti Namira boleh ke semua platform media sosial dengan nama @ theofficialnamira.
Selain itu, Muzik Video boleh diikuti di saluran YouTube Saudagar Seni Media.