Nama Harussani diabadikan untuk Balai Cerap INSTUN - Utusan Malaysia

Nama Harussani diabadikan untuk Balai Cerap INSTUN

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan Kompleks INSTUN dan Balai Cerap Tan Sri Harussani di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan merasmikan Kompleks Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) dan Balai Cerap Tan Sri Harussani di sini.

Majlis Perasmian Kompleks INSTUN dan Balai Cerap Tan Sri Harussani bersempena Sambutan Jubli Perak penubuhan INSTUN.

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, balai cerap yang siap dibina pada Julai lalu dinamakan sempena Mufti Negeri Perak kelapan iaitu Allahyarham Tan Sri Dr. Harussani Zakaria setelah mengambil kira sumbangannya yang berkhidmat sebagai Mufti Negeri Perak dari 1985 sehingga 2021.

Menurutnya, Harussani merupakan tokoh agamawan yang disegani serta sentiasa menjadi rujukan dalam bidang pentadbiran agama Islam, pengurusan fatwa dan falak syarie.

“Balai Cerap Tan Sri Harussani yang dibina dengan kos kira-kira RM7 juta ini merupakan sebuah balai cerap moden yang pertama di Perak.

“Pembinaannya juga menjadikan INSTUN sebagai institut latihan awam (ILA) tunggal yang memiliki fasiliti balai cerap bertaraf dunia di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut.

Sementara itu, beliau berharap INSTUN akan terus menerajui aktiviti latihan dalam bidang pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan serta teknologi maklumat yang berkaitan khususnya kepada penjawat awam di seluruh negara.

Menurutnya, kemajuan dalam bidang latihan itu akan menjadi pemacu kepada kemakmuran ekonomi negara selaras dengan nilai teras Malaysia Madani.

Beliau berkata, sejak 1998, kira-kira 70,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, khususnya warga pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan telah mendapatkan latihan di INSTUN.

“Bermula 2015, INSTUN mula melatih peserta luar negara di bawah peruntukan Kementerian Luar Negeri (KLN) iaitu Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP).

“Sehingga kini, INSTUN telah melahirkan lebih 80 orang alumni MTCP daripada 20 buah negara seperti Kemboja, Thailand, Myanmar, Filipina, Maldives, Mesir dan beberapa negara lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya