Najib beri cek dana haram kepada UMNO

Najib beri cek dana haram kepada UMNO -saksi pendakwaan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan lima keping cek berjumlah RM22.6 juta yang merupakan `wang haram’ kepada beberapa entiti termasuk parti politik pimpinannya, UMNO.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner (ACP), Foo Wei Min berkata, kesemua cek berkenaan ditandatangani sendiri oleh bekas Presiden UMNO itu.

“Hasil analisa `First In First Out’ (FIFO) ke atas akaun AmBank 9694 (akaun peribadi Najib), didapati sebanyak lima  transaksi melibatkan penggunaan wang haram 1MDB Global Investment Sdn. Bhd. (1MDB GIL) pada peringkat Tanore yang dikenal pasti menerima dana haram. Cek-cek yang diisu daripada akaun AmBank 9694, kesemuanya ditandatangan oleh Datuk Seri Najib sendiri.

“Jumlah wang haram hasil daripada 1MDB GIL peringkat Tanore yang digunakan oleh Datuk Seri Najib adalah RM22,649,000.00,” kata saksi pendakwaan ke-48 itu.

Wei Mun menyatakan, siasatannya mendapati cek berjumlah RM20 juta diterima oleh akaun CIMB Bank milik UMNO pada 2 Ogos 2013. Bendahari UMNO, Datuk Sri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah ketika itu turut mengesahkan parti itu menerima wang berkenaan.

Selain itu, cek turut dikeluarkan kepada UMNO Bahagian Batu Kawan berjumlah RM100,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank bahagian itu pada 7 Ogos 2013 menerusi cek milik akaun AmBank yang ditandatangani Najib. 

Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang, Datuk Mohd. Noor Ahmad mengesahkan menerima cek berkenaan daripada Najib sendiri dan digunakan untuk tujuan politik di kawasannya.

Wei Mun turut memberitahu, Najib mengeluarkan cek bernilai RM246,000 kepada ahli perniagaan, Lim Soong Peng pada 7 Ogos; cek bernilai RM2 juta kepada Orb Solutions Sdn. Bhd. dan cek bernilai RM303,000 dibayar kepada Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd. masing-masing pada 12 dan 14 Ogos 2013.

Hasil siasatan menunjukkan Pengarah Orb Solutions, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin mengesahkan menerima cek RM2 juta  itu atas perkhidmatan yang ditawarkan iaitu perkhidmatan publisiti dalam media sosial dan seperti Facebook, Instagram, Twitter dan blog persendirian tertuduh.

Pemilik Semarak Konsortium, Datuk Mohd. Omar Mustapha pula menerima RM22 juta atas menyediakan perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris kepada Najib.

“Antara penulis antarabangsa yang terlibat seperti Paul Stadlen, Charlotte Carr, Alexander Marklew, Benedict Macon Cooney dan lain-lain lagi,” kata saksi itu.

Pegawai polis itu dalam keterangannya hari ini turut memberitahu, terdapat lima transaksi membabitkan wang haram yang berasal dari 1MDB dan dimasukkan ke dalam akaun Najib di antara 2 dan 23 Ogos 2013 berjumlah RM2,034,350,000.

“Berdasarkan penyata akaun ini (akaun 9694), dapat disahkan bahawa jumlah dana hasil daripada aktiviti haram 1MDB GIL yang diterima daripada peringkat Tanore dipindahkan (semula) kepada Tanore sebanyak RM2,034,350,000.00,” kata Wei Mun.

Hasil siasatan seterusnya mendapati Najib memindahkan wang haram hasil daripada dana 1MDB GIL peringkat Tanore daripada Akuan Ambank 9694 kepada akaun bank miliknya sendiri yang lain iaitu akaun Ambank dengan nombor akaun berakhir 1880. 

“Pada 27 Ogos 2013, terdapat kemasukan wang berjumlah RM150,000,000 dan pada 30 Ogos 2013 terdapat kemasukan wang berjumlah RM12,436,711.87. Kedua-dua transaksi ini adalah pengeluaran dari akaun Ambank 9694. 

“Oleh itu, dokumen-dokumen ini mengesahkan bahawa Datuk Seri Najib memindahkan hasil dari aktiviti haram berjumlah RM150,000,000 dan RM12,436,711.87 daripada akaun Ambank 9694 milik Dato’ Sri Najib ke Akaun 1880 milik Datuk Seri Najib sendiri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 Oktober ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN