ALOR GAJAH: Di saat kanak-kanak seusianya menjalani kehidupan zaman kecil di sekolah, Naira Mahdeeya Nor Afratsim, 10, hanya terlantar di atas katil dan terpaksa menggunakan kerusi roda kerana menghidap penyakit Malformasi Arterio Vena (AVM).
Sejak penyakit itu menyerang Naira Mahdeeya Ogos lalu, murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar itu tidak lagi bersekolah kerana mengalami strok pada bahagian kiri badan, dari muka hingga kaki.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, ibunya, Mastura Dahan, 45, berkata, anak keempatnya itu menderita AVM selepas pemeriksaan perubatan mengesahkan, terdapat kesan gumpalan darah dalam saluran pembuluh darah.
Jelasnya, keluarganya memerlukan dana sebanyak RM30,000 bagi membolehkan Naira Mahdeeya menjalani pembedahan menutup tiga saluran otak, bulan depan.
“Pada 26 Ogos lalu, tubuh anak menjadi lembik seperti pengsan dengan keadaan mata tertutup apabila cuba dikejutkan dari tidur. Kami telah menghantar Naira Mahdeeya ke Klinik Kesihatan (KK) Masjid Tanah, namun pegawai perubatan di situ terpaksa merujuk kes ini ke Hospital Melaka kerana disyaki ada pendarahan otak.
“Doktor memaklumkan saraf matanya rosak, selain dia sukar membuang air besar kerana masalah usus akibat tidak boleh bergerak. Maka satu pembedahan perlu dilakukan pada hari itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ramuan China di sini.
Tambah Mastura, setakat ini dana pembedahan yang berjaya dikumpul hanya berjumlah kira-kira RM7,000 sahaja.
Ujarnya, Sebelum ini dia bekerja sebagai tukang bersih di sebuah masjid, namun terpaksa berhenti selepas Naira Mahdeeya diserang penyakit berkenaan.
“Suami, Nor Afratsim Hashim, 46, bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang. Dengan pendapatan RM2,000 sebulan, memang kami tidak mampu menampung kos perubatan.
“Kami pernah memohon bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun belum ada sebarang keputusan,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank 162143031269 atas nama Nor Afratsim Hashim.-UTUSAN