PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel mempersoalkan tindakan usahawan, Vivy Yusof, yang mengeluarkan produk pakaian dan barangan eksesori bertemakan Palestin.
Naim menyifatkan penjualan barangan di bawah jenama Duck itu seolah-olah sedang menangguk di air yang keruh.
“Sama sahaja dengan Israel. Dua-dua suka ambil kesempatan,” tulisnya dalam ciapan di aplikasi ‘X’.
Jenama berkenaan turut memperkenalkan selendang, kole dan juga beg tangan yang diilhamkan daripada bendera Palestin.
Menurut mereka, hasil jualan akan didermakan bagi membantu rakyat Palestin menerusi badan bukan kerajaan, Viva Palestina Malaysia.
Penyanyi Sumpah itu walau bagaimanapun merasakan tindakan itu tidak sensitif dan bercanggah dengan konflik yang sedang dialami rakyat Palestin.
“Siap jual water mug yang ada warna bendera Palestin.
“Rakyat Palestin sendiri pun kena sekat diorang kemudahan air dan lain-lain oleh Zionis,” tambahnya.
Dalam sebuah video yang dimuat naik Vivy menerusi Instagram peribadi, dia menjelaskan usaha itu dilakukan kerana tidak sanggup lagi melihat penderitaan yang dihadapi kanak-kanak di negara bergolak itu.
“Suatu hari nanti kita akan ditanya apa yang kita buat setelah melihat kekejaman yang berlaku di dunia kita hari ini.
“Oleh itu saya dan pasukan buat keputusan untuk mengutip dana dengan melancarkan koleksi kecemasan ini.
“Semua hasil jualan akan didermakan dan kami tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada jualan ini,” katanya.
Terkini, Israel telah menyerang Gaza dengan serangan udara dan tembakan artileri yang meragut sekurang-kurangnya 2,269 nyawa termasuk 724 kanak-kanak di kawasan Palestin yang disekat sejak perang diumumkan minggu lalu.