IPOH: Penganjuran Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun ini merupakan usaha berterusan supaya umat Islam terus kukuh berpegang kepada manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah.
Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, muzakarah kali ini menggunakan tajuk Memperkasa Ahli Sunah Wal Jamaah Sebagai Al Firqah Al Najiah sebagai tema.
“Pemilihan tajuk ini sangat bertepatan dengan situasi umat Islam hari ini agar dapat terus kukuh berpegang kepada manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah sebagai satu-satunya Al-Firqah Al-Najiah iaitu golongan yang terselamat dunia dan akhirat.
“Memahami dengan benar dan mengikuti manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah merupakan satu kemestian bagi umat Islam terutama dalam menjalani kehidupan dunia pada zaman yang penuh dengan pelbagai lambakan maklumat dan ideologi melalui sumber maklumat yang tidak terbatas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program tersebut dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke majlis berkenaan dan menyampaikan titah baginda di sini hari ini.
Berkenaan program sama, kata Wan Zahidi, penganjuran muzakarah itu yang telah bermula dari tahun 1995 dan merupakan rantaian dan kesinambungan daripada Muzakarah Ulama Dan Cendekiawan Islam serta Muzakarah Ulama.
“Program berkonsepkan muzakarah keilmuan ini diadakan bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
“Berdasarkan kepada kedudukan dan sambutan terhadap muzakarah ini, maka ianya diadakan khusus secara tahunan setiap kali Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan,” katanya.
Tambah beliau, muzakarah itu berlangsung selama tiga hari dengan melibatkan 12 kertas pembentangan dari tokoh-tokoh ilmuan tempatan dan luar negara termasuk dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Jordan.
Katanya, seramai hampir 400 orang peserta yang disasarkan telah dapat dicapai terdiri dari mufti, jabatan-jabatan kerajaan, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi.
Katanya, titah utama dalam muzakarah itu oleh Sultan Perak bakal menjadi panduan dan rujukan.
“Segala idea dan buah fikiran dari para pembentang dan peserta sekalian diharap dapat membantu muzakarah ini dalam mencapai matlamatnya dalam mengukuhkan Manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah di negeri Perak khususnya dan rantau nusantara ini amnya,” katanya. – UTUSAN