Nor Fatihah suka gembirakan ahli keluarga

Muslimat Pas maut nahas aktif kerja kebajikan

Jenazah Allahyarham, Nor Fatihah Nabila Bukri disembahyangkan di surau Al Hidayah, Taman Seri Jenaris, Tikam Batu, Sungai Petani sebelum dikebumikan di kampungnya di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Berangan, Kota Kuala Muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Allahyarhamah Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Nor Fatihah Nabila Bukri, 23, sanggup membelanjakan separuh daripada gajinya sebagai guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) setiap bulan untuk menggembirakan ahli keluarganya.

Adik kepada arwah Nor Fatihah, Muhamad Sufi Hanif, 22, berkata kakak sulungnya itu disifatkan sebagai seorang yang suka membantu dan menggembirakan orang lain.

Katanya, arwah kakaknya mula bekerja sebagai guru di Pasti Al Fateh Junior, di sini, sejak awal tahun ini dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,300 sebulan.

“Meskipun gaji dia tidak besar, dengan pendapatan tersebut dia sentiasa berusaha untuk menggembirakan keluarga.

“Hampir separuh gaji bulanannya dibelanjakan untuk kami sekeluarga makan-makan atau membelikan barang kesukaan adik-adiknya.

“Jika saya atau adik-adik yang lain sebut suka sesuatu barang pasti dia akan belikan dan baru-baru ini dia ada belikan saya sehelai baju kesukaan saya,” katanya ketika ditemui selepas selesai solat jenazah di pekarangan surau Al Hidayah, Taman Seri Jenaris, Tikam Batu, di sini, hari ini.

Nor Fatihah merupakan salah seorang daripada muslimat Pas yang terkorban dalam nahan jalan raya di Tanjung Malim petang semalam. Turut terkorban ialah Ketua Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan Penolong Setiausaha 1, Dewan Muslimat Pas Sungai Petani ,Nurul Najihah Amzi, 27.

Tambahnya, arwah juga banyak membantu dan menyokong pengajiannya dalam bidang Kerja Sosial di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) di Terengganu. 

“Kali terakhir saya berhubung dengan kakak pada Jumaat lalu, apabila dia memberitahu telah memasukkan sejumlah wang daripada dia dan ibu saudara kami ke akaun bank saya untuk kerja sosial saya di Vietnam nanti,”ujarnya.

Sementara itu, bekas guru arwah yang juga rakan baiknya, Rozita Man, 52, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah Nor Fatihah ketika mereka bersama-sama menghadiri program Festival Sunnah 6.0 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Sabtu lalu.

“Sewaktu di program tersebut, arwah kelihatan sangat ceria, dia menggenggam erat tangan saya dan begitu bersemangat melaungkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad.

“Pada khamis lalu, dia ada menghubungi saya melalui Whatsapp untuk mengajak saya pergi ke program sama yang akan diadakan lagi pada 26 Oktober, namun hajat tersebut sudah tidak kesampaian,” ujarnya.

Katanya, kehilangan arwah ibarat kehilangan sebutir permata yang berharga kerana arwah seorang generasi muda yang sangat aktif dalam melakukan pelbagai aktiviti kebajikan.

“Arwah sangat suka menyertai aktiviti kebajikan, kalau kami mahu buat aktiviti kebajikan, dia antara yang terawal akan tawarkan diri sebagai sukarelawan,”katanya.

Dalam pada itu, jenazah Allahyarhamah Nor Fatihah selamat dikebumikan kampungnya di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Berangan, Kota Kuala Muda, dekat sini, pada pukul 11 pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya