Muktamar: Pemimpin Pas perlu juarai isu rakyat 

Muktamar: Pemimpin Pas perlu juarai isu rakyat 

Abdul Hadi Awang bersama Dr. Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemimpin Pas perlu lebih berani membahaskan polisi dan dasar kerajaan serta menjuarai isu yang dekat di hati rakyat.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penggunaan medium yang berkesan amat penting dalam aspek penerangan supaya mencapai sasaran orang awam dan rentas parti. 

Justeru, wakil rakyat Pas perlu memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan sokongan rakyat terus bersama Perikatan Nasional. 

“Kita perlu membuat muhasabah dan perhitungan yang sewajarnya apabila melihat banyak perkara yang negatif dalam perjalanan pengurusan ekonomi negara. Masih banyak masalah dan penyakit-penyakit yang tidak dapat diselesaikan, seperti masalah kemiskinan, pengangguran, inflasi yang membebankan rakyat, kezaliman dengan bersikap pilih kasih dan masalah yang menyanggah prinsip Perlembagaan Persekutuan, iaitu federalisme.

“Kita juga menghadapi kemungkaran ekonomi yang sangat bejat dan merosakkan perjalanan pentadbiran negara. Rasuah bocor dan boros, tidak diberikan keutamaan pencegahan dan penyelesaiannya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di sini, hari ini. 

Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan PN yang lain serta wakil-wakil kedutaan asing. 

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, prestasi wakil rakyat adalah faktor terpenting dalam memastikan kerusi yang dimenangi sekarang terus kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti. 

“Turun ke lapangan, dekati masyarakat dan memperjuangkan nasib mereka yang dipinggirkan, di samping terus memberikan pendidikan dan kesedaran setiap masa. 

“Di samping berkebajikan kepada rakyat di kawasan, jangan dikesampingkan peranan hakiki seorang wakil rakyat sebagai penggubal undang-undang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi merangka, membahas dan melaksana segala dasar dan polisi ke arah mewujudkan sebuah pemerintahan yang tertegak di dalamnya nilai-nilai dan syariat Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya