Muktamar Pas 2023: Jangan sekat kebebasan media, bersuara - Utusan Malaysia

Muktamar Pas 2023: Jangan sekat kebebasan media, bersuara

Kebebasan
PERWAKILAN mendengar pembentangan usul dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan sepatutnya berdepan dengan kritikan dan kebebasan bersuara yang dilontarkan rakyat untuk membuat perubahan berbanding menggunakan undang-undang untuk menyekatnya.

Malah, kerajaan digesa untuk bersikap adil, saksama dan tidak selektif dalam kebebasan bersuara termasuklah berkaitan isu perkauman, keagamaan dan institusi diraja (3R).

Perwakilan Dewan Muslimat Pas, Husna Hashim yang mengusulkan perkara berkaitan kebebasan media dan berpersatuan berkata, kerajaan jangan bersikap angkuh serta tidak boleh ditegur.

“Sepatutnya lebih bersifat terbuka untuk mendengar suara rakyat dan bertindak membuat perubahan bagi menjamin keharmonian rakyat. 

“Kita membawa usul mendesak kerajaan terutamanya Kementerian Komunikasi dan Digital untuk bersifat adil, saksama dan tidak selektif dalam kebebasan media, kebebasan kakitangan awam dalam berurusan dan bersuara dalam media sosial,” katanya pada sesi pembentangan usul dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-69, hari ini.

Tambahnya, tekanan turut diberikan kepada pempengaruh media sosial apabila ditahan dan disiasat oleh pihak berkuasa kerana mengkritik kerajaan.

Jelas Husna, lebih malang lagi apabila terdapat peniaga dalam kalangan pempengaruh diboikot melalui gerakan tertentu apabila mereka mengkritik kerajaan.

Sementara itu, penyokong usul berkenaan iaitu Perwakilan Dewan Pemuda Pas, Muhammad Nazrul Hakim Md. Nazir mendedahkan terdapat dua insiden berkaitan pihak berkuasa berlaku melibatkan tindakan terhadap anggota parti.

“Ada seorang dalam program jemaah kita menerima panggilan daripada isterinya yang memaklumkan menerima kedatangan polis di rumahnya selepas dia membuat hantaran dalam Facebook bukan tak betul atau fitnah tetapi gambar pemimpin tertinggi kerajaan, disebabkan itu polis datang ke rumah.

“Kedua seorang anggota parti juga mengalami trauma apabila pihak berkuasa menyerbu rumahnya pada pukul 11 malam kerana terdapat satu hantaran videonya mengulas penglibatan ‘anak papa’ dalam pentabdiran (kerajaan),” jelasnya.

Bagaimanapun, dia mengingatkan kerajaan tidak sepatutnya mengulangi insiden yang pernah berlaku pada era ‘reformasi’ yang menentang kezaliman kerajaan dan rejim ‘mahazalim’.

“Jangan kamu sekat kebebasan bersuara, kalau dahulu tak suka pemimpin kamu ditahan jangan sekat pemimpin parti lawan. Kalau kamu dahulu tak suka aktivis diheret ke penjara kerana bersuara, jangan kamu heret rakyat,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya