SHAH ALAM: Kerajaan digesa berlaku adil kepada semua wakil rakyat tanpa mendiskriminasi mereka yang berada di blok pembangkang apabila tidak sehaluan dengan pendirian arus perdana.
Malah, kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu dikatakan perlu menunaikan janji untuk memberi keadilan kepada semua termasuklah pemberian peruntukan kepada negeri-negeri pembangkang.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, sebagai pemerintah wajib berlaku adil kepada rakyat walaupun pandangannya tidak sealiran dengan kerajaan.
“Inilah yang kita laksanakan di Kelantan, kita beri keadilan kepada semua rakyat sama ada rakyat itu bangsa Melayu atau lain, beragama Islam ataupun agama lain, bila kita jadi pemerintah kena berlaku adil, termasulah kita beri peruntukan kepada pembangkang di Kelantan.
“Sebab itu kita tuntut kepada kerajaan persekutuan juga hendaklah berlaku adilkepada semua wakil rakyat dan kita tidak tunjuk ketika kita memerintah putrajaya, ketika PN memerintah peruntukan diberi juga kepada pembangkang.
“Orang Islam terikat dengan janji-janji mereka, kena tunai. Tak boleh sesiapa, bila berjanji kena tunai. Kerana sifat orang yang beriman, mereka akan tunaikan janji, tanda orang munafik itu tiga bila bercakap bohong, bila berjanji memungkiri, diberi amanah mengkhianatinya,” katanya ketika berucap pada program Pidato Empat Menteri Besar sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-69, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Pas bersama Perikatan Nasional (PN) akan kekal menjadi pilihan oleh pengundi-pengundi Melayu yang dikatakan menjadi tempat untuk diletakkan harapan.
“Kerana sikap yang ada inilah Pas mendapat sokongan, dukungan daripada masyarakat di negara kita, majoriti orang Melayu Islam memberi sokongan kepada kita. PH menang dengan sokongan orang bukan Islam. Satu-satunya yang boleh mereka letakkan harapan adalah Pas dan bersama PN.
“Sebab itu dalam setiap pilihan raya, sama ada menang ataupun belum, undi kita meningkat, mereka merosot. Inilah yang berlaku di Johor dan Pahang, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan di Kemaman, bukan sahaja menang tetapi dengan majoriti yang lebih besar,” ucapnya. – UTUSAN