SHAH ALAM: Dewan Ulamak yakin Pas dan Perikatan Nasional (PN) dapat menguasai negara pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti selepas model State-Government 4 (SG4) dibantu individu yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri.
Menurut pembahas Dewan Ulamak, Ahmad Marzuki Mat Yusuf, ini kerana mereka yang berstatus bekas Perdana Menteri itu dapat membantu untuk membangunkan empat negeri yang ditadbir Pas melalui SG4.
“Beberapa orang yang berpengalaman seperti mana mereka yang pernah memegang jawatan perdana menteri. Mereka mengetahui lorong-lorong ekonomi bagaimana untuk kita membangun keempat negeri-negeri ini.
“Insya-Allah kita akan buktikan kepada rakyat seluruh Malaysia bagaimana mentadbir keempat negeri ini berdasarkan tema adil, prihatin dan berkebajikan…insya-Allah pada PRU16 solid kita akan menguasai negara,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-69 hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, keempat negeri Pas menubuhkan pelan ekonomi SG4 dengan melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihatnya.
SG4 ditubuhkan sebagai blok kerjasama antara kerajaan negeri bagi pembangunan ekonomi, infrastruktur serta sosial negeri apabila negeri-negeri berkenaan dikatakan mempunyai hasil bumi dan tanah yang luas untuk diuruskan seperti sektor perikanan, pertanian dan hasil minyak dan gas. – UTUSAN