Muktamar Pas 2023: Cabar mahkamah syariah isu 3R sebenar - Utusan Malaysia

Muktamar Pas 2023: Cabar mahkamah syariah isu 3R sebenar

Syariah 3R
ABDUL Hadi Awang menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan dicabar menyelesaikan isu perkauman, keagamaan dan institusi diraja (3R) sebenar yang melibatkan tindakan mencabar enakmen mahkamah syariah di mahkamah sivil.

Ini kerana, undang-undang syariah sepatutnya diberikan imuniti yang tidak boleh dicampuri urusannya oleh mahkamah sivil dan perkara tersebut dianggap mencabar umat Islam di negara ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, situasi tersebut adalah isu 3R yang sebenar dan membahayakan kerana ia disifatkan mencabar kuasa Raja-Raja Melayu yang menjadi ketua agama Islam.

“Inilah 3R yang sebenar tak boleh dicabar, bukan 3R kerja menasihati raja-raja, menasihati kerajaan, orang Melayu ini bukan 3R. 3R ini mencabar Islam, mencabar Allah, mencabar raja-raja itu 3R yang sebenar.

“Saya cabar kerajaan PH (Pakatan Harapan) supaya berani bertindak atas 3R sebenar, kalau tak penakut. Kita beri ingatan, kita takkan biar perkara yang berlalu dengan percuma. Bagaimana hendak bertindak, tunggu dan lihat,” katanya dalam ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas Ke-69, hari ini.

Beliau menambah, situasi tersebut tidak sepatutnya berlaku selepas undang-undang syariah melalui fasa yang dilemahkan di negara ini ketika zaman penjajah. Penjajah dikatakan melemahkan syariah, pejabat agama dan enakmen syariah.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd, Nassarudin Daud kecewa selepas ada individu bertindak mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dilaksanakan di negeri itu.

Beliau, lebih mengecewakan tindakan itu dibuat oleh seorang peguam beragama Islam dan berasal dari Kelantan bersama anaknya melibatkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diperjuangkan sejak era pemerintahan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diluluskan dengan perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebelum dikuatkuasakan pada 2021.

Malah, Abdul Hadi menegaskan tindakan mencabar undang-undang syariah yang berlaku itu disifatkan lebih buruk berbanding cadangan kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Bahkan, ia juga dianggap lebih buruk berbanding peristiwa Natrah yang dimurtadkan pada 1950 sehingga mencetuskan rusuhan dalam kalangan umat Islam di Singapura pada Disember tahun tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menggesa hakim mahkamah sivil mengambil tindakan yang bijaksana seperti pernah dilakukan oleh hakim terdahulu seperti Tun Salleh Abbas, Tun Hashim Yeop Sani, Tan Sri Harun Hashim dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

“Ini sangat bahaya, pengundi kita semua umat Islam. Syariah (undang-undang) tak boleh dicabar kerana mempunyai imuniti atau kekebalan seperti firman Allah SWT, tidak harus bagi seorang lelaki atau perempuan yang beriman (disebut secara terperinci) kepada Allah dan Rasul dalam memutuskan sesuatu perkara lalu membuat pilihan yang lain, tak boleh.

“Keputusan ulama boleh dibahas, ini cabar mahkamah syariah secara dasar sangat bahaya. Mencabar Allah, Rasul, Raja-Raja Melayu yang menjadi ketua agama. Sedar ke tak, mencabar umat Islam,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya