SHAH ALAM: Pas sekali lagi mengibaratkan pengalaman mengambil alih kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) terutama di Terengganu dan Perlis seperti membaiki rumah yang rosak.
Namun, proses untuk membaiki rumah tersebut tidak boleh dilakukan secara drastik apabila sumber kewangan terhad dan keperluan untuk mengutamakan pembangunan yang lebih penting.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri-negeri yang diambil alih ketika itu kelihatan baik apabila dipandang dari luar, namun perlu menyelesaikan kerosakan di bahagian dalam.
Itulah perumpamaan bila kita ambil alih kerajaan daripada BN sebelum ini, saya rasa negeri lain pun sama sahaja Maka kita fikir bagaimana kita hendak buat, dalam keadaan rumah sedemikian.
“Kita kena senaraikan, rumah ini masalahnya, rosaknya banyak, hendak buat sekaligus kosnya RM50,000, duit kita ada RM10,000 apa kita hendak buat. Maka kita senaraikan dan tentukan keroskan mana yang perlu dibaiki dahulu, hendak beli peti ais dulu atau TV, mana penting. Baiki atap dulu atau toilet dulu? Itulah dilema kita jadi kerajaan,” katanya ketika berucap pada program Pidato Empat Menteri Besar sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-69, malam tadi.
Dalam pada itu, Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli memaklumkan pentadbiran pimpinannya perlu meneruskan projek yang pernah diusahakan oleh BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu bernilai RM2.5 bilion.
“Kita ambil alih dan kenal pasti projek-projek terdahulu. Jadi, kita teruskan sehingga selesai walaupun ada kritikan daripada pemimpinnya yang mendakwa projek-projek itu diasaskan oleh mereka.
“Takkanlah saya hendak biarkan projek yang menelan belanja besar itu sekerat jalan. Mereka marah saya sebab projek itu mereka yang buat. Tetapi saya cakap membazir, sudah bayar kos kajian, pembinaan dan sebagainya tetapi hendak dihentikan sekerat jalan,” ujarnya. – UTUSAN