'Muka aset kerja depan tv' - Utusan Malaysia

‘Muka aset kerja depan tv’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYAMPAI berita dan hos rancangan di RTM, Muhammad Syairul Islam Basmullah, 24, menyifatkan wajah adalah aset terpenting lebih-lebih lagi bekerja dalam bidang penyiaran.

Katanya, penjagaan kulit bukan bermaksud ingin kelihatan kacak atau cantik di depan televisyen semata-mata, tetapi bertujuan memperlihatkan wajah kelihatan lebih berseri, bersih dan sihat.

“Nak pula kalau kita perlu kupas topik penjagaan kesihatan, tetapi diri sendiri tak jaga. Bagaimana kita ingin menyakinkan penonton?” soalnya.

Berkongsi mengenai wajah, katanya kekerapan ditatarias sebelum bersiaran secara langsung di kaca televisyen sedikit sebanyak menjejaskan kesihatan kulit wajahnya.

“Awal-awal bekerja tak rasa sangat. Namun, bila sudah lama, rasa seperti ada pigmentasi, jerawat dan kulit muka nampak kusam. Jadi, situasi itu menyebabkan saya tertanya-tanya dan mendapatkan konsultasi pakar.

“Pakar estetik maklumkan situasi itu berkemungkinan disebabkan penggunaan alat dandanan dan solekan terlalu kerap serta pencahayaan di studio terlalu kuat,” katanya.

Menyedari perubahan itu, Syairul tidak teragak-agak mengunjungi spa bagi mendapatkan rawatan bersesuaian dengan kulit wajahnya.

Katanya, setiap rawatan yang dibuat adalah bergantung konsultasi dan saranan oleh doktor.

“Kadang-kadang kulit wajah terlalu berminyak atau kelihatan kering. Jadi bergantung situasi dan kondisi muka sebelum rawatan disyorkan oleh doktor.

“Ikutkan saya memang suka ambil rawatan paling murah yang disediakan sebab setiap bulan kebiasaannya ada promosi yang ditawarkan,” katanya.

BUKAN SEKADAR PERGI SPA

Mengulas penjagaan wajah, Syairul berpandangan setiap masalah bukan selesai dengan mengunjungi pusat penjagaan kulit semata-mata.

Namun, sebaliknya, ia tetap bergantung kepada penjagaan harian seseorang.

“Perlu ada penggunaan produk penjagaan kulit serta rutin harian yang baik seperti menggunakan tona, serum, krim atau sunblock. Kita juga perlu pastikan produk harian yang dipakai juga bersesuaian dengan kulit wajah.

“Kalau sudah bekerja, tak salah kalau pergi spa sebulan atau dua bulan sekali. Sebab wajah adalah aset yang hendak dipakai lama. Kita pun suka melihat wajah cantik, kemas, rasa macam ada ‘nur’ pada raut wajah seseorang,” katanya.

Baik lelaki atau wanita, kata Syairul, mereka perlu cakna tentang isu penjagaan kulit wajah. Malah, jelasnya, tiada istilah hilang maskulin atau kejantanan sekiranya mengunjungi spa.

“Sekarang pun sudah ada spa khas untuk lelaki. Ini sekali gus menunjukkan sudah ada permintaan daripada golongan lelaki untuk memanjakan diri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya