KUALA TERENGGANU: Peserta Ironman Langkawi, Muhammad Rabani Hashim, yang sebelum ini dilaporkan berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi telah mula sedarkan diri.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, perkara itu dimaklumkan isteri kepada kakitangan Unit Pelapis dan Pembangunan Bakat MSNT itu, sebentar tadi.
Menurut beliau, Muhammad Rabani juga difahamkan berada dalam keadaan stabil dan dalam proses untuk dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dalam masa terdekat.
Katanya, MSNT selaku majikan telah menghulurkan bantuan segera kepada ahli keluarga Muhammad Rabani, 29, dan mendoakan kakitangannya itu segera pulih.
“Saya diberitahu oleh isteri dan ahli keluarganya, dia (Muhammad Rabani) sudah sedarkan diri, dalam keadaan stabil dan tidak lagi memerlukan mesin alat bantuan pernafasan.
“Imbasan ke atas organ dalaman juga positif cuma difahamkan masih dalam pemantauan pasukan perubatan di sana dan kami doakan kesembuhannya,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Media sebelum ini melaporkan dua peserta Ironman Langkawi dikejarkan ke hospital ketika menyertai kejohanan triathlon itu, dengan salah seorang daripadanya dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Muhaini Mahmud, 44, yang dilaporkan hampir lemas ketika melakukan disiplin renang berada dalam kritikal dan ditidurkan di ICU sebelum disahkan meninggal dunia, petang tadi
Sementara itu, Muhammad Rabani dikatakan tidak sedarkan diri dipercayai ketika melakukan disiplin larian pada kejohanan berkenaan, semalam. – UTUSAN