PORT DICKSON: Hasrat seorang pemuda berketurunan Iban bertemu ibu kandungnya selepas memeluk Islam enam bulan lalu tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam kemalangan motosikal di Kilometer 8 Jalan Pantai di sini semalam.
Ibunya, Nur Aisyah Muli, 49, seakan tidak percaya anak keempat daripada lima beradik itu, Nicholas Lasah Anak Linggie, 21, atau nama Islamnya, Muhammad Qusyairie Linggie telah meninggal dunia dan kali terakhir mereka berhubung adalah melalui khidmat pesanan ringkas minggu lalu.
“Anak saya ada menyatakan hasrat bertemu saya di Sarawak selepas kami tidak berjumpa lebih 10 tahun, tetapi dia kata kebetulan tidak dapat cuti dan masih tidak cukup wang untuk pulang.
“Walaupun tidak berjumpa, kami sangat rapat. Dia ada telefon dan mesej, baru-baru ini dia beritahu tidak berapa sihat dan sering pening kepala,” katanya ketika ditemui di Pusat Forensik Hospital Port Dickson di sini hari ini.
Walaupun sedih, Nur Aisyah bersyukur anaknya itu sempat memeluk Islam atas kerelaan sendiri sejak April lalu sebelum menemui ajal.
“Saya memeluk Islam pada 2019, Muhammad Qusyairie adalah satu-satunya anak saya yang memeluk Islam dan adik-beradik yang lain masih beragama Kristian,” katanya yang datang bersama suaminya dari Samarahan, Sarawak menerusi penerbangan awal pagi tadi.
Menurut Nur Aisyah, sejak kecil Muhammad Qusyairie kurang mendapat kasih sayang daripada ibu bapa selepas dia dan suami berpisah dan kini dia berkahwin dengan suami baharu, Sazali Eli, 57, sebulan selepas memeluk Islam pada 2019.
Muhammad Qusyairie berdikari dengan berhijrah ke Semenanjung Malaysia sejak empat tahun lalu untuk bekerja.
Rakan serumah arwah, Muhamad Norhuzairi Che Azmi, 21, pula memberitahu, arwah menunjukkan kelakuan pelik dan berulang kali memberitahu akan meninggal dunia dalam kemalangan sejak Khamis lalu.
“Tanda-tanda pelik arwah seperti keseluruhan badannya sejuk, kurang makan dan minum, badan lesu selain kurang bercakap sebelum dia ‘pergi’
“Arwah ada minta maaf kalau dia buat (perkara) bukan-bukan sampai saya terasa, dia kata balik dari kerja nanti dia akan kemalangan dan mati, saya cakap jangan cakap macam itu, nanti saya tiada kawan,” katanya yang tinggal serumah dengan arwah sejak setahun lalu.
Jelas Muhamad Norhuzairi, arwah memeluk Islam pada April lalu selepas tertarik melihatnya solat dan membaca surah Yasin.
“Sejak Disember tahun lepas, Muhammad Qusyairie menunjukkan minat dalam Islam dan meminta saya mengajarnya solat dan mengambil wuduk. Alhamdulillah dia pergi sebagai seorang mualaf Islam,” katanya.
Semalam media melaporkan, Muhammad Qusyairie yang bekerja sebagai pekerja restoran dan seorang lelaki berusia 54 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dalam kemalangan pukul pukul 3.20 petang di Kilometer 8 Jalan Pantai di sini.
Jenazah Muhammad Qusyairie diuruskan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Intan Perdana di sini selepas proses bedah siasat selesai hari ini. – UTUSAN