PULAU PINANG : Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) tidak menolak bahawa masih ramai kalangan individu mahupun pengguna yang kurang pemahaman mengenai ilmu pelaburan dan pengurusan kewangan terutama dalam kalangan generasi muda.
Presiden MTPN, Datuk Paduka Dr. Kevy KV Yeo berkata, sehubungan itu, satu program telah diadakan bagi meningkat tahap kesedaran orang ramai supaya lebih celik ilmu dan bijak menguruskan kewangan persendirian.
Kata beliau, ia adalah menerusi penganjuran Program Kesedaran pelabur anjuran Quantum Metal Malaysia iaitu sebuah seminar pendidikan transformatif yang bertujuan untuk meningkatkan pemahaman individu tentang dunia kewangan.
Menurut Dr. Kevy, program ini penting ke arah menjamin masa depan celik kewangan dan mencapai matlamat hidup lebih progresif selain dilihat dapat memacu kemajuan teknologi serta keselamatan siber yang perlu bergerak seiring bagimelindungi data peribadi dan kewangan pengguna.
“Dalam landskap kewangan yang berubah dengan pantas hari ini, masyarakat perlu mempunyai pemahaman yang kukuh tentang prinsip pelaburan pada masa kini. Sama ada anda seorang pelabur yang berpengalaman atau baru mula meneroka dunia kewangan, menerusi seminar ini, ia disesuaikan untuk mengenal pasti tahap perjalanan kewangan peserta.
“Malah, jika dilihat, serangan siber telah menjadi lebih canggih, menyasarkan individu, perniagaan, dan juga kerajaan sekali gus kebocoran maklumat data kewangan lebih mudah berlaku.
“Bagi menjaga privasi, ilmu berkenaan celik kewangan juga satu aspek penting yang perlu dipandang serius dan komited dalam usaha kolektif memperkukuh pertahanan digital kita dan memastikan kita boleh menerima manfaat era digital dengan yakin dan selamat” katanya.
Sementara itu, Pengasas Quantum Metal Malaysia, Datuk Lim Khong Soon pula berkata, ilmu pelaburan tidak dikhaskan untuk orang kaya atau mereka yang bijak kewangan sahaja.
Malah, katanya, ia terbuka kepada semua peringkat pendapatan tetapi harus disulami dengan ilmu pelaburan dan kewangan yang tepat.
“Menjadi kewajipan kolektif kita untuk menyebarkan pengetahuan tentang pilihan pelaburan berbeza yang ada, risiko berkaitannya dan potensi pulangan.
“Kesedaran pelabur bukan sekadar satu pilihan, tetapi satu keperluan. Melalui pendidikan, kebolehcapaian dan ketelusan mampu memperkasakan individu untuk mengawal masa depan kewangan mereka,”katanya.
Turut hadir ke seminar tersebut ialah wakil-wakil daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan (MATRADE),Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta Badan Pensijilan Keselamatan Siber Antarabangsa (ICSCB).
Difahamkan, kehadiran mereka adalah untuk berkongsi pengetahuan pelaburan yang telus serta pelbagai kesedaran mengenai penipuan dan keselamatan siber.
Dalam pada itu, Asisten Supritendan, Devan A/L Raman dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) turut mengingatkan orang awam agar tidak mudah tertipu dengan skim pelaburan yang tidak wujud dan tanpa lesen yang semakin berleluasa.
“Kita perlulah sentiasa cakna dan proaktif mempersiapkan diri dengan pengetahuan tentang tips dan langkah pencegahan untuk memerangi jenayah penipuan atau scam.
“Jangan panik dan bertenang apabila menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali” katanya.
Dalam program tersebut, seramai 19 orang ejen Quantum Metal menerima penghargaan kecemerlangan atas usaha yang dicapai.