KEPALA BATAS: “Saya tak tahu nak kata apa bila dapat tau menang hadiah rumah ni. Tiba-tiba rasa macam hilang kata-kata ‘sat’ (sebentar).”
Itu luahan Mat Zin Husin, 71, pemenang hadiah utama sempena karnival Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 iaitu sebuah rumah teres bernilai RM500,000 di Setia Fontaines, Bertam di sini.
Ketika ditemui pemberita, bapa kepada empat anak yang berasal dari Kampung Banggol Sawa, Pendang, Kedah itu berkata, buat masa ini, dia masih belum dapat berfikir sama ada mahu berpindah ke rumah baharu atau menjual rumah berkenaan.
“Saya pun tak sangka boleh menang. ‘Mai’ (datang) sini (MSAM) pun seronok-seronok sahaja dengan anak dan cucu.
“Lagipun, ni kali pertama saya mai program macam ni. Tak sangka jadi pemenang bertuah pula,” katanya yang menjual pakaian di pasar sehari tidak jauh dari tempat tinggalnya di Kedah.
Bagi pemenang hadiah cabutan bertuah untuk kereta jenis Perodua Axia pula, Normah Bunsu, 29, ini kali ketiga dia menyertai karnival MSAM selepas hadir ke dua lagi karnival yang sama iaitu di Sungai Petani, Kedah dan Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum ini.
“Dua MSAM sebelum ini tak dapat apa-apa pun. Mungkin ini rezeki saya dan keluarga kerana kami belum ada kereta lagi.
“Sebenarnya, masa penganjur telefon beritahu suruh datang untuk terima hadiah cabutan bertuah malam tadi pun, saya tertanya-tanya sampai tak boleh tidur,” kata ibu kepada dua anak itu.
Dalam pada itu, seorang lagi pemenang hadiah cabutan bertuah, Umi Kalsum Yaakub, 46, berkata, dia menyangka panggilan yang diterima daripada penganjur untuk memaklumkan mengenai kemenangan tersebut sebagai ‘phone scammer’.
Umi Kalsom yang berasal dari Semenyih, Selangor itu berkata, dia pada mulanya datang ke Pulau Pinang untuk bercuti bersama enam daripada lapan anaknya sejak Rabu lalu sebelum pulang ke Selangor, Jumaat lalu.
Menurut penjual bunga dalam talian itu, dia sama sekali tidak menyangka terpaksa kembali ke Pulau Pinang semata-mata untuk mengambil hadiah cabutan bertuahnya iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha MT-25 dalam tempoh 24 jam sahaja.
“Alhamdulillah. Mungkin ini rezeki anak-anak saya juga,” katanya yang baharu kematian suaminya kira-kira tujuh bulan yang lalu.
Hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Prof. Dr. Mohamad Abdul Hamid. – UTUSAN