MSAM 2023: Pendekatan hibrid mampu tarik lebih ramai pengunjung

MSAM 2023: Pendekatan hibrid mampu tarik lebih ramai pengunjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: “Kedatangan kami ke sini tidak sia-sia kerana banyak maklumat terbaharu mengenai Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) termasuk produk terkini dan promosi istimewa sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 yang boleh kami pelajari dan ambil manfaat,” kata seorang pengunjung MSAM di Setia Fontaines, Bertam, di sini.

Anis Farehah Ab. Razak, 35, dan Abu Hanafi Mohd. Razawi, 40, yang datang dari Selangor semata-mata untuk mengunjungi karnival literasi tahunan anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan tidak menganggap perjalanan jauh ke Bertam, di sini sebagai satu alasan untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

Katanya, sebagai pengunjung, mereka berasa lebih yakin untuk mendengar sendiri penerangan yang diberikan apabila hadir sendiri ke karnival tersebut kerana maklumat dapat disampaikan terus kepada mereka.

“Senang nak bertanya kerana ada perbincangan dua hala,” katanya.

Apa yang dilalui oleh pasangan tersebut sebenarnya itulah juga yang dirasakan oleh pengunjung lain yang datang ke  Karnival Literasi Kewangan Terbesar negara itu.

Karnival sembilan hari anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu bermula Sabtu lalu.

Jika diukur dari segi aspek pencapaian penganjuran sejak MSAM yang pertama pada tahun 2000, MSAM berjaya mencatatkan kehadiran 3.9 juta pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang amat membanggakan.

Inisiatif ini mencerminkan usaha dan kesungguhan berterusan PNB untuk mendidik rakyat mengenai ilmu dan manfaat pelaburan, yang selari dengan komitmennya meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, pengunjung yang mendaftar dengan aplikasi PNB Events App berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah utama menarik termasuk rumah teres setingkat di Setia Fontaines, Pulau Pinang; Toyota Vios 1.5G AT, Perodua Axia 1.0L AV, Yamaha MT25, Apple iPhone 14 Pro Max dan banyak lagi.

Pengunjung yang mengikuti siaran MSAM secara digital di Facebook juga berpeluang untuk memenangi iPhone 14 dan e-Voucher Shopee bernilai RM20,000.

Dalam tempoh yang sama, penganjuran karnival itu secara berterusan telah melayakkannya untuk menerima anugerah ‘Longest Running Unit Trust Exhibition 14 years’ (2000-2014) pada tahun 2014 daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) selain pengiktirafan ‘Asia Responsible Entrepreneurship Awards 2015 (Social Empowerment Category)’ daripada Enterprise Asia.

Pada tahun 2020 dan 2021, program MSAM telah diadaptasikan secara maya dan dikenali dengan jenama Minggu Saham Digital (MSD) selari usaha PNB ke arah tranformasi digitalisasinya.

Untuk tahun ini pula, MSAM tampil dengan kelainan tersendiri apabila menggabungkan kedua-dua elemen iaitu fizikal dan digital secara serentak iaitu di bawah satu konsep yang dikenali sebagai hibrid.

Menerusi konsep tersebut, pengunjung yang tidak berkesempatan untuk datang ke lokasi penganjuran tahun ini iaitu di Setia Fontaines, Bertam di sini juga masih berpeluang untuk turut-serta secara dalam talian.

Menurut PNB, pengenalan karnival secara hibrid itu selaras dengan aspirasi mereka untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Platform digital yang boleh digunakan untuk mengikuti perkembangan karnival tahunan itu ialah melalui laman Facebook MSAM iaitu menerusi pautan https://www.facebook.com/MingguSahamAmanahMalaysia​.

Pada masa yang sama, mereka yang mahu mengakses karnival itu secara digital menerusi laman Youtube pula boleh berbuat demikian di pautan https://www.youtube.com/@MingguSahamAmanahMalaysia.

Ternyata, cetusan idea untuk menggabungkan kedua-dua elemen tersebut iaitu penganjuran secara fizikal dan digital setakat ini menampakkan perkembangan yang positif dan dilihat mampu ‘menyebarluaskan’ lagi ‘capaian’ MSAM hampir ke mana sahaja.

Apatah lagi penerapan elemen STEM atau Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik sepanjang karnival berlangsung dilihat mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung muda khususnya lepasan sekolah.

Justeru, dengan berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum karnival di Setia Fontaines ini melabuhkan tirainya, sasaran awal PNB untuk menarik kehadiran sehingga 150,000 pengunjung secara fizikal dilihat tidak mustahil untuk dicapai.

Dengan segala kemudahan khidmat nasihat, maklumat yang dipaparkan serta pelbagai aktiviti interaktif diadakan, orang ramai wajar mengambil peluang tersebut untuk menambah pengetahuan mengenai MSAM 2023.

 

Pelbagai program menarik disediakan dengan kerjasama 50 pempamer yang terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri, acara hiburan dan peraduan untuk para pengunjung.

Jadi, warga Bertam dan Kepala Batas khususnya serta warga Pulau Pinang dan mereka yang berminat secara amnya, jangan lepaskan peluang keemasan ini kerana masuk adalah percuma.

MOLIN ZAWATI Saaid (kanan) bersama menantunya, Azahari Othman mencuba kereta yang dimenangi sempena Karnival MSAM 2023 di Setia Fontaines, Bertam, Pulau Pinang, Selasa lalu. – UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya