PETALING JAYA: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau, Sabah berjaya disiapkan sepenuhnya dan dijangka bakal menerima pelajar bagi sesi tahun 2024.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia berjaya disiapkan hasil kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.
“Insya-Allah, MRSM Ranau yang siap sepenuhnya hasil kerjasama strategik antara Petronas, Mara dan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pemerintahan UMNO-Barisan Nasional (BN) terdahulu kini bersedia untuk menerima kemasukan pelajar Batch Pertama sesi 2024 ini.
“Dengan kedudukannya di tanah tinggi berhampiran Gunung Kinabalu, diselimuti bayu nyaman dan dingin, pastinya memberikan nilai tambah kepada suasana pembelajaran anak-anak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, Asyraf Wajdi turut mengajak masyarakat terutama penduduk Sabah untuk membawa anak-anak mereka menyambung pengajian di MRSM yang ke-56 tersebut.
“Saya doakan anak-anak Sabah berjaya dengan cemerlang dalam Ujian Kemasukan Ke MRSM (UKKM) yang akan bermula 1 November ini,” katanya.-UTUSAN