KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara bagi Agensi Persekutuan 2021 mendapati, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) gagal mengutip sewaan pajakan Loji Rintis Rangsum Ternakan.
Ini menyebabkan agensi itu kehilangan hasil tidak dikutip berjumlah RM600,000 menyaksikan jumlah itu sudah dihapus kira.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, pengauditan mendapati secara keseluruhannya, hasil sewaan pajakan Loji Rintis Rangsum Ternakan gagal dikutip mengikut perjanjian yang ditetapkan.
Katanya, loji rintis juga tidak dimanfaatkan bagi tujuan penyelidikan untuk menghasilkan makanan ternakan berasaskan sumber sawit secara komersial.
“Terdapat kelemahan ketara dalam kutipan hasil sewaan pajakan Loji Rintis Rangsum Ternakan menyebabkan hasil tidak dikutip berjumlah RM600,300 dan ia telah dihapus kira.
“Kelemahan yang perlu diambil perhatian adalah hasil sewaan pajakan tidak dibayar mengikut tempoh ditetapkan; pindaan perjanjian bayaran balik tunggakan sewaan pajakan tidak dibuat; dan penamatan perjanjian sewaan pajakan lewat dibuat selama 36 bulan,” katanya dalam Laporan Ketua Audit 2021 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.
MPOB adalah antara lapan agensi persekutuan yang diaudit bagi Pengauditan Pematuhan yang mana secara keseluruhannya, berdasarkan skop dan sampel audit, terdapat ketidakpatuhan dalam pengurusan kewangan di agensi Persekutuan.
Ini menyebabkan berlaku isu kehilangan hasil, pembayaran tidak teratur dan pengurusan berjumlah RM108 juta.
Katanya, Jabatan Audit Negara mengesyorkan pihak pengurusan MPOB perlu menetapkan mekanisme dan membuat pemantauan yang rapi serta mengambil tindakan susulan.
“MPOB juga diminta melaksana penyelesaian lebih awal mengikut tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian bagi mengelakkan kehilangan hasil; dan memastikan setiap hasil sewaan dikutip mengikut tempoh ditetapkan selaras dengan klausa perjanjian dan menyediakan prosedur operasi standard bagi kutipan tunggakan hasil,” katanya. – UTUSAN