BUKIT MERTAJAM: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Perwira dekat sini, mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan aktiviti gotong-royong bagi membanteras wabak denggi yang dilaporkan sedang melanda di beberapa kawasan di daerah Seberang Perai Tengah, di sini.
Pengerusi MPKK Taman Perwira, Ong Huai Hooi berkata, meskipun tiada kes denggi melibatkan kawasan Taman Perwira ketika ini, namun pihaknya membersihkan longkang, parit, menebas semak-samun serta mengutip sampah di kawasan sekitar bagi membasmi penularan wabak denggi.
“Aktiviti gotong-royong ini bukan sahaja ingin memastikan kawasan tempat tinggal terjamin kebersihannya, malah pada masa sama kami nak libatkan seluruh komuniti di sini termasuk penduduk warga asing untuk sama-sama turun padang dalam menjaga alam sekitar.
“Hal ini penting kerana rata-rata warga asing tidak begitu peka perihal penjagaan kebersihan dan kita anjurkan program ini untuk mendidik mereka dan masyarakat betapa pentingnya memelihara alam sekitar daripada tercemar,” katanya kepada Utusan Malaysia pada program Gotong-royong Madani di sini, semalam.
Beliau menambah, lebih 100 orang komuniti di situ dan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai aktiviti gotong-royong tersebut termasuk penduduk warga asing dari Indonesia, Bangladesh serta Nepal.
“Komuniti di sini adalah terdiri daripada komuniti campuran antaranya Melayu, Cina dan India. Jadi, penganjuran aktiviti ini juga dilihat mampu mengeratkan hubungan setia kawan meskipun berlainan kaum dan latar belakang agama,” katanya.
Turut hadir pada program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung dan bekas Ahli Majlis dalam Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Boon Sheng.
Sementara itu, Hsiao Leung berkata, keunikan program tersebut dapat dilihat melalui penglibatan penduduk warga asing bersama komuniti setempat untuk sama-sama turun padang menjaga persekitaran dari sebarang bentuk pencemaran.
“Jika di tempat lain jarang kita lihat penyertaan komuniti penduduk warga asing yang rata-ratanya terdiri daripada pekerja kilang turut serta dalam sebarang program anjuran MPKK, namun di sini berbeza.
“Semangat harmoni yang ditunjukkan sesama penduduk perlu sentiasa diterapkan dalam memastikan masyarakat dapat hidup aman dan sejahtera meskipun kita sering dimomokkan oleh sesetengah pihak yang ingin memecahbelahkan perpaduan antara kaum.
“Syabas diucapkan kepada MPKK Taman Perwira dan diharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dan menjadi ikutan buat MPKK yang lain,” katanya.
Selain program gotong-royong, MPKK Taman Perwira turut mengadakan program Jualan Rahmah Bergerak dan program Kempen Kitar Semula Barangan Terpakai dan Minyak Masak Terpakai. – UTUSAN