Mona Allen pupuk kesedaran menabung

Mona Allen pupuk kesedaran menabung

Mona Allen dan suami, Pekin mengutamakan simpanan untuk masa depan pendidikan anak mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah dididik untuk menabung sejak kecil, pelakon, Mona Allen sedar kepentingan menyimpan duit demi kelangsungan hidup di masa akan datang. Baginya, tidak salah untuk mendisiplinkan diri belajar menyimpan wang.

Walaupun diakui adakala ‘nafsu’ berbelanja itu datang secara tiba-tiba, namun ibu kepada Petra Pekin, 1, itu perlu mendisiplin diri agar anaknya dapat menikmati kehidupan yang lebih baik hasil simpanan mereka.

“Sebagai anak seni, saya dan suami, Pekin Ibrahim sedar tatkala nama berlegar kencang dalam industri kreatif, bayaran kita memang tinggi. Namun kita tidak akan selamanya popular dan berada di atas.

“Sebab itu, kami sudah amalkan menyimpan duit sejak Petra masih dalam kandungan lagi. Itu adalah keputusan dan langkah terbaik demi masa depan yang lebih cerah. Kita perlu menyimpan demi kelestarian kehidupan kelak.

“Tak apa jika kita bermula dengan amaun yang kecil, asalkan niat dan usaha untuk menyimpan itu ada. Perlu disiplin dan sentiasa positif. Berbelanja seadanya terutama dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar ketika ini,” ujarnya.

Duta Bulan Menabung Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2023 (BMS 2023) itu pada masa sama bersyukur kerana usaha untuk menabung turut disokong suaminya yang sama-sama mahu mewujudkan masa depan terbaik untuk anak mereka.

Malah pengalaman berdepan pandemik sehingga pelbagai tawaran kerja terpaksa ditangguhkan mengajar mereka untuk sentiasa bersedia dengan situasi yang tidak diduga.

“Ketika pandemik, kami mula sedar bahawa usaha menabung adalah penyelamat ketika memerlukan. Simpanan yang ada boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan di kala pelbagai sektor ditutup sementara.

“Malah kami juga sedar, kerjaya sebagai anak seni ini tidak boleh menjamin kewangan stabil di masa akan datang. Selain berniaga, kami perlu ada simpanan tetap yang menjadi bekalan di hari mendatang.

“Saya juga mahu yang terbaik untuk Petra. Biarlah kami mengehadkan perbelanjaan dan menabung untuk masa depannya. Itu yang terbaik yang kami boleh lakukan sebagai ibu bapa,” ujar pemilik nama sebenar Munna Hafiraneza Allen itu.

BMS 2023 yang bermula 28September lalu bakal merentasi 14 negeri di lokasi terpilih seluruh Malaysia.

Bermula di Selangor dan Zon Borneo (Sabah dan Sarawak) seterusnya ke Zon Timur (Terengganu, Kelantan dan Pahang) pada 7 Oktober, Zon Selatan (Johor, Melaka dan Negeri Sembilan) pada 14 Oktober, Zon Utara (Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Kedah) pada 21 Oktober dan penutup di Kuala Lumpur pada 29 Oktober 2023.

Malah siri Jelajah BMS 2023 bakal diisi dengan pelbagai aktiviti dan promosi istimewa termasuk Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Robotik Simpan SSPN (Inovasi) dan banyak lagi yang menawarkan hadiah menarik.

Malah pendeposit simpan SSPN juga berpeluang menyertai Cabutan BMS 2023 bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM75,000 untuk 66 pemenang bertuah.

Pengunjung juga boleh mendapatkan cenderahati eksklusif BMS selain berpeluang beramah mesra dengan selebriti terkenal antaranya Mona Allen, Bell Ngasri, Muaz, DJ Sonic dan ramai lagi.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.ptptn.gov.my/BMS2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya