MNRB tingkat literasi kewangan bumiputera, semai budaya menabung

MNRB tingkat literasi kewangan bumiputera, semai budaya menabung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Syarikat pegangan pelaburan, MNRB Holdings Berhad berhasrat meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat negara ini khususnya bumiputera melalui penyertaan mereka dalam Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM), tahun ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad iaitu anak syarikat milik penuh MNRB, Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata, pada masa sama, pihaknya menganjurkan Program MNRB Bijak Menabung.

Katanya, program itu diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Mak Mandin dekat sini, untuk memberi pendedahan dan dorongan kepada murid-murid tentang budaya menabung sejak bangku sekolah.

“Program ini juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat MNRB untuk menyokong objektif MSAM iaitu mendidik masyarakat mengenai pelaburan berhemah dan perancangan kewangan.

“Kami membuka gerai pameran di MSAM (yang berlangsung di Setia Fontaines, Bertam) dan kini rancak memperkenal produk-produk lain termasuk takaful dan skim perlindungan yang berkaitan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program MNRB Bijak Menabung di SK Mak Mandin yang turut dihadiri Naib Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Mohd. Nizam Zainordin.

Sempena program itu, MNRB bersetuju menyumbang tiga unit televisyen pintar atau untuk kegunaan pembelajaran murid-murid di kelas Pendidikan Khas serta bilik komputer dan pusat sumber.

Turut diadakan sempena program tersebut ialah aktiviti permainan ‘MNRB Ringgit Smart Squad’, aktiviti mewarna serta simbolik ‘penyampaian’ mural berkaitan MSAM dan MNRB kepada pengurusan SK Mak Mandin.

Dalam pada itu, guru besar sekolah berkenaan, Zul Pakar Isa berkata, pihaknya terharu dengan kesudian wakil MNRB dan PNB berkunjung ke sekolah mereka.

“Selain sedang cuba memupuk budaya menabung dan menyimpan wang dalam kalangan murid, kami di SK Mak Mandin juga berhasrat memfokuskan sekolah ke arah budaya STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) sama seperti yang diterapkan dalam MSAM yang dilangsungkan pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya