Micron tingkat operasi menerusi pembinaan kilang baharu di Batu Kawan - Utusan Malaysia

Micron tingkat operasi menerusi pembinaan kilang baharu di Batu Kawan

CHOW Kon Yeow (tengah) bersama Gursharan Singh (tiga dari kiri) dan Amarjit Sandhu (tiga dari kanan) pada majlis sambutan ulang tahun penubuhan Micron ke-45 serta pelancaran kilang pintar kedua syarikat itu di Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BATU KAWAN: Syarikat peneraju dalam industri memori inovatif dan penyelesaian penyimpanan antarabangsa yang berpangkalan di Pulau Pinang, Micron Technology Inc. mengukuhkan lagi jenama mereka dalam bidang semikonduktor menerusi pelancaran fasiliti perkilangan pintar mereka yang kedua, di sini.

Difahamkan, kilang kedua yang dibangunkan dengan pelaburan keseluruhan berjumlah kira-kira AS$1 bilion itu telah memulakan operasinya sejak awal tahun ini.

Menurut Naib Presiden Kanan Bahagian Pemasangan Global dan Ujian Operasi Micron, Gursharan Singh, pembukaan fasiliti baharu itu membolehkan pihaknya mengeluarkan lebih banyak produk berkualiti kepada pelanggan mereka selain mengurangkan tempoh menunggu berbanding sebelum ini.

Kata Gursharan, selain pelaburan berjumlah AS$1 bilion untuk membangunkan fasiliti itu, pihaknya mungkin menggandakan pelaburan tersebut dalam tempoh beberapa tahun akan datang untuk melengkapkan pembinaan kemudahan berkenaan di kilang yang berkeluasan kira-kira 14,000 meter persegi secara keseluruhannya itu.

“Pengembangan operasi ini juga membolehkan Micron Malaysia memenuhi permintaan semasa yang tinggi terhadap produk berkaitan semikonduktor atau elektronik yang digunakan dalam bidang teknologi transformatif seperti kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan kenderaan elektrik dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan ulang tahun Micron yang ke-45 yang diadakan serentak bersama acara pelancaran kilang pintar itu di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu selain turut dihadiri Naib Presiden Korporat Bahagian Pemasangan serta Operasi Ujian NAND untuk Micron Technology, Amarjit Sandhu.

Difahamkan, kilang Micron pertama yang dibangunkan di Pulau Pinang sebelum ini terletak di kawasan perindustrian Perai dan telah dibuka sejak lapan tahun lalu.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengalu-alukan pembinaan kilang kedua oleh syarikat gergasi semikonduktor dunia itu di negeri ini dan menyokong sebarang bentuk pengembangan operasi yang disifatkannya memberi manfaat besar buat penduduk di Pulau Pinang.

Ini kerana, kata beliau, dengan adanya dua buah kilang Micron yang melibatkan pelaburan sebanyak AS$2 bilion sebagai contoh, kira-kira 4,500 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

“Ini adalah satu contoh klasik yang kita selalu katakan mengenai pelaburan berkualiti tinggi yang akhirnya boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi.

“Dengan pelaburan tambahan oleh Micron ini, kita yakin Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya masih menjadi destinasi pelaburan yang menarik terutamanya dalam sektor pembangunan industri berasaskan elektrik dan elektronik,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya