MELAKA: Persatuan Peranakan Malaysia akan memastikan murid-murid dari sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) tidak lagi perlu melalui kelas peralihan, setiap kali memasuki tingkatan satu di sekolah menengah kebangsaan.
Presidennya, Datuk Ronald Gan berkata, usaha sedang giat dilakukan oleh pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memastikan murid-murid SJKC dapat menguasai Bahasa Melayu dengan cemerlang.
Menurutnya, salah satu usaha dijalankan melibatkan penganjuran program seperti Festival Megah Bahasa melalui pertandingan dondang sayang, koir dan bercerita.
“Ini satu program yang dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan di kalangan orang-orang Cina dan India di SJKC dan sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT).
“Bila mereka terpaksa melalui kelas peralihan, tempoh pembelajaran menjadi terlalu lama, kelas-kelas baharu terpaksa dibuka, pengambilan guru-guru pula terpaksa dibuat untuk mereka mengajar Bahasa Melayu.
“Ini sebenarnya merugikan masa dan banyak lagi perkara boleh dilakukan, justeru usaha perlu digiatkan untuk memastikan murid-murid dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Festival Megah Bahasa di Dewan Besar SJKC Pay Fong 1, Krubong di sini, hari ini.
Festival itu menyaksikan murid-murid dari 33 SJKC dan SJKT menyertai pertandingan dondang sayang, koir dan bercerita.
Tambah Ronald, program sedemikian menarik minat murid-murid menyertai pertandingan dianjurkan terutama dondang sayang.
“Setakat ini ada beberapa SJKC di Melaka tidak perlu melalui kelas peralihan kerana mereka dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Kami juga ingin menggalakkan murid-murid menjadi seperti orang Baba dan Nyonya iaitu boleh bercakap menggunakan Bahasa Melayu yang mudah,” katanya. – UTUSAN