KUALA LUMPUR: Pengalaman terkena buatan orang sewaktu menyertai sebuah pertandingan nyanyian tahun lepas tidak menghalang penyanyi Shila Amzah untuk menyertai program realiti Famili Duo tahun ini.
Kata Shila, kerisauan tentang tentang perkara itu membuatkan dia sentiasa berdoa dan mengharapkan perlindungan daripada Allah S.W.T.
“Saya tak dapat nak kongsikan secara khusus tentang apa yang berlaku dan saya tak boleh nak jelaskan siapa disebalik perbuatan itu kerana jujur saya tak tahu.
“Tapi sepanjang berada dalam industri seni, itulah kali pertama saya menghadapinya. Ia memang memeritkan.
“Saya tahu setiap pertandingan pasti ada elemen-elemen mistik sebegini. Perasaan takut memang ada. Saya hanya mampu berdoa, semoga dilindungi dan mudah-mudahan perkara begini tidak lagi berlaku kepada saya,” katanya.
Shila mengulas tentang dakwaan masalah kesihatannya yang dikaitkan dengan buatan orang ketika penyanyi ini bersaing di peringkat akhir program Gegar Vaganza musim ke-9.
Shila dalam Gegar Vaganza tahun lepas berjaya merangkul tempat ketiga sekaligus membawa pulang wang tunai RM30,000. – UTUSAN