Memacu kelestarian industri perikanan dan ekonomi masyarakat

Memacu kelestarian industri perikanan dan ekonomi masyarakat

PENYERAHAN alat penetasan ketam bersama wakil Charoen Pokphand Group Co., Ltd
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENCAPAIAN Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam penyelidikan dan pemindahan ilmu terutamanya bidang tujahan kelautan sentiasa dipergiat dari semasa ke semasa.

Pucuk pimpinan UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd. Ghafar telah menyatakan dalam ucapan amanatnya bahawa tumpuan UMT bagi tahun 2023 antaranya adalah untuk memperkasa
komuniti melalui pemindahan ilmu berasaskan penyelidikan.

Dalam usaha mencapai perkara tersebut, pihak universiti telah menyediakan peruntukan khusus untuk melaksanakan projek pemindahan ilmu berimpak menerusi dana dalaman
UMT seperti Translasional dan Knowledge Transfer and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS).

Selari dengan misi universiti “Menjana Ilmu Untuk Kesejahteraan Masyarakat dan Kelestarian Alam” serta kedudukan UMT yang terletak berhampiran lautan menjadikan komuniti nelayan fokus utama universiti.

PENYEDIA SOLUSI TERHADAP ISU DAN CABARAN

Pihak universiti sentiasa mendampingi dan menyantuni warga setempat dan mengenalpasti isu-isu yang membelenggu terutamanya kumpulan nelayan pesisir. Isu yang seringkali didengari antaranya adalah berkaitan tangkapan yang semakin berkurangan, saiz ikan semakin mengecil, perubahan jenis ikan di pesisiran pantai, peralatan perikanan yang kurang efektif dan kekurangan kawasan tumpuan ikan.

Bagi mendepani isu-isu tersebut, UMT telah menyusun strategi dan mengambil pendekatan secara kolaboratif bersama rakan strategik untuk melaksanakan beberapa inisiatif
seperti projek melabuhkan unjam yang menggunakan beberapa jenis daun terpilih dan pemberat yang direka khas untuk dilabuhkan. Pemberat ini akan bertindak sebagai ‘tukun tiruan’
bagi menggantikan habitat yang telah musnah dan membolehkan hidupan lain seperti karang membiak.

Seiring dengan kemajuan teknologi, penyelidik UMT membuat pengubahsuaian terhadap alatan perikanan dari segi saiz, bentuk dan unjam yang moden. Hasil penciptaan ini, ia
mampu mengurangkan tangkapan sampingan.

Sebagai penyelesaian terhadap isu kekurangan kawasan tumpuan ikan pula, UMT turun padang dengan menjalankan proses mengenalpasti lokasi teranas atau ‘habitat ikan’ yang sesuai
mengikut jenis dan saiznya.

Kaedah ini menggunakan teknologi pemetaan dasar laut dan sekali gus membantu merancakkan aktiviti perikanan rekreasi kepada penduduk sekitar.

Untuk memastikan taraf kehidupan masyarakat nelayan terus diperkasa dan berubah kepada nelayan berteknologi, UMT dalam peringkat penghasilan prototaip bot katamaran yang
direka khas dan dilengkapi dengan peralatan perikanan yang moden.

Dana Penyelidikan Strategik berjumlah RM3.1 juta telah diperoleh daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dijangka impak projek mampu memberikan kesan
positif terhadap pembangunan sosioekonomi nelayan dan kelestarian industri perikanan.

PERKASA EKONOMI MASYARAKAT

Hasrat universiti bukan sahaja untuk melahirkan anak bangsa yang berjaya malah turut beradaptasi dengan masyarakat setempat untuk bersama meneroka ilmu dan mendapat
manfaat hasil penyelidikan yang dibangunkan oleh warga universiti.

Sejak tahun 2017, sebanyak 26 projek bernilai RM12 juta di bawah Skim Geran Penyelidikan Translasional UMT telah dan masih giat dilaksanakan sehingga kini.

Hasil penyeldikan yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Sumbangan UMT dalam usaha meningkatkan keterjaminan bekalan makanan negara telah membawa kumpulan penyelidik UMT melaksanakan Program Pelepasan Benih Bagi
Pemuliharaan dan Peningkatan Stok Populasi Udang Galah di Sungai Nyatoh, Setiu. Fokus projek ialah untuk memulihara serta memastikan sumber udang galah tidak pupus dari perairan
negara bagi menjamin kelestarian sumber perikanan dan punca rezeki kepada komuniti setempat yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan.

Aktiviti pelepasan dilakukan secara berperingkat dan telah berjaya mencatatkan lebih 1,000,000 ekor benih udang.

Selain itu, projek berimpak di bawah inisiatif dana Knowledge Transfer and Technology Assimilation Grant Scheme telah melaksanakan projek Pembelajaran dan Pembangunan
Sistem Ternakan Ikan Air Tawar Berkualiti Tinggi Secara Komersial bagi memperkasa penghasilan sumber makanan yang lestari.

Pemilihan teknik ternakan menggunakan sumber sedia ada iaitu takungan seperti kolam dan tangki terbiar mampu menjimatkan kos pembelian harga seunit tangki yang mencecah anggaran harga RM1,200.00 hingga RM2,400.00 dan peserta mampu menjana pendapatan tambahan sekitar RM1,000 sebulan.

Kira-kira sejuta benih anak udang telah dilepaskan ke Sungai Nyatoh, Setiu.

PENUHI PERMINTAAN INDUSTRI AKUAKULTUR

Mengambilkira ketam bakau yang menjadi antara makanan laut yang mendapat sambutan, pihak UMT telah melaksanakan Projek Pembenihan dan Ternakan Ketam Bakau Dalam Kandang
kepada komuniti di sekitar Kuala Kertih, Terengganu. Dengan harga pasaran ketam yang boleh mencapai sekitar RM30-RM65/kg, projek ini mampu meningkatkan sumber ekonomi
keluarga peserta.

Terbaharu, UMT juga amat bertuah kerana mendapat kerjasama daripada Charoen Pokphand Group Co. Ltd, sebuah syarikat gergasi dari Thailand untuk bersama-sama terlibat dalam projek komuniti ini.

Pihak syarikat telah menyumbang tiga unit alat penetasan ketam kepada UMT dan kepada komuniti di Kuala Nerus, Terengganu termasuk di Sedili, Johor.

Selari dengan perkembangan sektor akuakultur yang semakin rancak di negara ini kerana permintaan makanan laut terus berkembang, UMT juga telah meluluskan Dana Penyelidikan
Translasional bernilai RM1.6 juta untuk pembinaan Hatceri Artemia di UMT bertujuan menyokong aktiviti pemindahan ilmu kepada masyarakat setempat. Lebih membanggakan, projek ini telah berjaya menghasilkan produk komersial untuk makanan ternakan akuakultur iaitu PKC-Nutri+ sekali gus memenuhi permintaan pemain industri
akuakultur.

Kerjasama strategik dengan Greeny Aquaculture Sdn. Bhd. dalam bentuk MoU telah menjadi tunjang keberhasilan produk ini dikomersialkan untuk pasaran dalam dan luar negara.

Sejak tahun 2007, UMT terus maju melangkah ke hadapan dengan membawa visi “Universiti Berfokus Marin Terunggul dalam Negara dan Disegani di peringkat Global”. Justeru, penerokaan
kerjasama secara kolaboratif, inovatif, holistik dan dalam jangka masa panjang amatlah diperlukan dengan pihak agensi kerajaan, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar
manfaat kerjasama dapat disalurkan kepada masyarakat dengan lebih berkesan dan usaha ini sekali gus menyokong perkembangan ‘blue economy’. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN